Statistik kebakaran kereta membimbangkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Insiden kebakaran kereta menunjukkan peningkatan pada masa ini, yang mana menurut statistik panggilan mengenai insiden kebakaran pada April 2020 telah merekodkan jumlah panggilan tertinggi berbanding dengan Januari hingga Mac.

Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), bagi panggilan insiden kebakaran kereta, jabatan berkenaan menerima lapan panggilan pada Januari lalu, enam panggilan pada Februari, tujuh panggilan pada Mac dan 10 panggilan pada April lalu, di mana anggaran kerugian keseluruhan bagi insiden kebakaran berkenaan ialah sebanyak $101,350 dan dua orang mengalami kecederaan.

Statistik tersebut dikongsikan oleh Pemangku Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Haji Abdul Sufriyan bin Haji Abdul Hamid semasa Sidang Media Mengenai Insiden Kebakaran Kereta yang Semakin Meningkat yang berlangsung di JBP, hari ini.

Beliau menerangkan lanjut bahawa punca utama kebakaran kereta adalah masalah teknikal yang melibatkan kerosakan komponen mekanikal, kebocoran hos minyak atau saluran pada komponen kenderaan dan penyambungan yang longgar, kesalahan dan kecuaian manusia seperti kurang pengetahuan dalam pemilihan alat ganti komponen kereta, membiarkan enjin kenderaan dalam keadaan hidup terlalu lama serta masalah elektrik dalam kereta seperti kerosakan komponen sistem elektrikal dalam enjin, kerosakan bahagian pendawaian sistem, kerosakan bahagian ABS dan kerosakan kotak fius dalam enjin.

Punca utama kebakaran kereta yang lain ialah hentakan kuat daripada kemalangan dan sampah yang dibakar serta ditinggalkan lalu melarat mengakibatkan kebakaran kereta.
Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran atau kemalangan kereta daripada berlaku.

Haji Abdul Sufriyan (kiri) dan Pegawai Balai Pengiran Mohd Ali Rahman memberikan penerangan semasa sidang media yang berlangsung di JBP, kelmarin. – Gambar serahan JBP

JBP juga menyarankan orang ramai untuk menghentikan pengubahsuaian terhadap reka bentuk kenderaan, tidak membuat pengubahsuaian sistem pendawaian elektronik dengan sembarangan tanpa mengikut spesifikasi asal kenderaan serta kemampuan enjin berkenaan, memastikan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik, enjin dan sistem bahan api serta alat-alat mekanikal kenderaan diselenggarakan oleh mekanik yang bertauliah dengan bertujuan untuk mengesan sebelum terjadinya sebarang kerosakan atau kebocoran pada kenderaan.

Orang ramai juga disarankan untuk sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam mendapatkan alat ganti kenderaan yang sesuai, selamat dan lulus untuk digunakan, jangan meninggalkan harta benda dalam kenderaan terutama sekali yang boleh menyebabkan kebakaran seperti power bank serta apabila berada di stesen minyak, pemandu mestilah mematikan enjin kenderaan dan tidak menyalakan api atau rokok serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa sedang mengisi minyak kerana minyak kenderaan adalah bahan yang mudah terbakar.

Sementara itu, Pegawai Balai Pengiran Mohd Ali Rahman bin Pengiran Haji Salleh dalam kenyataan menyeru orang ramai untuk meningkatkan lagi kewaspadaan dan aspek-aspek keselamatan terutama sekali keselamatan kebakaran semasa berada di rumah.

Beliau menerangkan lanjut bahawa pada masa ini, negara masih dalam keadaan kes wabak COVID-19 dan dapat rasakan suasana yang berbeza semasa menyambut bulan Ramadan di mana aktiviti-aktiviti harian di luar rumah adalah berkurangan.

“Ini adalah bagi memastikan langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan jangkitan daripada merebak seperti mana mengikut saranan dari Kementerian Kesihatan.”

Tambahnya lagi, “Difahamkan juga pada masa ini, masyarakat dan orang ramai secara umumnya lebih banyak berada di dalam rumah berbanding di luar dan ini menunjukkan tumpuan aktiviti di rumah adalah meningkat.”

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan masakan dan memeriksa komponen-komponen dapur memasak, menghindar daripada penggunaan elektrik yang berlebihan dan memastikan untuk menutup atau mematikan suis mana-mana
peralatan elektrik yang tidak digunakan, peka dalam mengawasi keberadaan anak-anak mereka serta tidak meninggalkan warga emas, orang berkeperluan khas dan kanak-kanak kecil bersendirian di rumah.

Orang ramai juga diseru jika berlaku sebarang insiden kecemasan, untuk menghubungi Pusat
Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.