Statistik wartawan dibunuh membimbangkan

SALTA, Argentina, 23 Okt – Terdapat sejumlah 29 wartawan terbunuh di Amerika pada 2018, 23 daripadanya wartawan dari Amerika Latin, menurut Presiden Persatuan Wartawan InterAmerika (SIP/IAPA), Gustavo Mohme.

Mohme pada perhimpunan agung ke-74 SIP di Salta, Argentina berkata 11 dari 29 wartawan yang dibunuh itu berasal dari Mexico, enam dari Amerika Syarikat, Brazil (empat), Ecuador (tiga), Colombia dan Guatemala (masing-masing dua) dan Nicaragua (seorang).

Menurut Mohme, merangkap pengarah akhbar Peru La Republica, krisis ekonomi membuat era kewartawanan sekarang berdepan pelbagai kesukaran.

Sementara itu Peguam Peru, Erick Iriarte yang juga ahli kumpulan hakim dan pakar pengurusan awam berkaitan industri kreatif dan budaya, mengesa diwujudkan garis panduan kawal selia kepada wartawan yang menggunakan platform intermedia termasuk YouTube.

IAPA menumpukan keadaan di Mexico yang menyaksikan pembunuhan 11 wartawan setakat ini. Laporannya memfokuskan kepada keganasan pilihan raya, krisis ekonomi dan ketidaktentuan hubungan dengan kerajaan AMLO.

Laporan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia Mexico baru-baru ini mendedahkan antara tahun 2000 dan 2018, seramai 138 wartawan dibunuh di Mexico. – Bernama-NNN-Telesur