Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Status kehilangan Ramli akan diputuskan

    TEHRAN, 18 Ogos – Pihak berkuasa Iran memberi tempoh sehingga akhir bulan ini sebelum membuat pengesahan status Ramli Majid, 44, yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran November tahun lepas.

    Menurut Duta Malaysia di Iran Datuk Rustam Yahaya, jika lelaki itu masih tidak ditemui dalam tempoh itu, pihak berkuasa Iran terpaksa merujuk kepada pihak mahkamah negara itu untuk membuat keputusan secara sah yang lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

    Katanya, ini untuk memudahkan keluarga Ramli mengambil tindakan selanjutnya termasuk menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan.

    “Minggu lepas saya sendiri pergi ke pergunungan itu dan mendapati kebanyakan salji di bahagian selatan, barat dan utara mencair tapi lereng gunung bahagian timur di mana mayat seorang warga Malaysia dijumpai sebelum ini tidak mencair. Juram di situ sedalam 5km dan mayat yang ditemukan jatuh sejauh 1.5km.

    “Bahagian timur gunung itu sangat curam dan terlindung daripada matahari dan walaupun udaranya panas tapi puncak air batu tidak mencair,” katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan peserta Kembara Inspirasi Haji di Kedutaan Malaysia di sini Khamis.

    Peserta Kembara Inspirasi Haji bergambar bersama beberapa warga Iran dengan berlatarbelakangkan Gunung Damavand di mana hilangnya Ramli Majid ketika mendakinya pada November tahun lepas. – Bernama
    Peserta Kembara Inspirasi Haji bergambar bersama beberapa warga Iran dengan berlatarbelakangkan Gunung Damavand di mana hilangnya Ramli Majid ketika mendakinya pada November tahun lepas. – Bernama

    Pada 20 Nov tahun lepas, Ramli, seorang pegawai IT dan rakan pendaki dilaporkan hilang ketika mendaki gunung setinggi 5,610 meter selepas mereka terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain. Mayat rakannya Syed Redzuan Syed Salim Shatri, ditemukan di Yakhar Glacier, setelah enam hari operasi pencarian.

    “Kita tunggu sehingga tiga minggu terakhir bulan ini, dikatakan musim panas yang maksimum. Jika gerakan mencarinya tidak berhasil dalam tempoh itu, akan sukar selepasnya kerana bulan September keadaan akan sejuk semula,” katanya.

    Menurutnya, kumpulan pendaki yang sama dalam lima atau enam orang kembali meninjau di kawasan pergunungan itu bulan lepas untuk sama-sama mencari rakan mereka, tetapi hampa.

    Rustam berkata pihak berkuasa Iran sentiasa membuat pemantauan di kawasan itu dan persekitarannya termasuk menggunakan khidmat helikopter dan drone mengambil gambar dan dikaji sebarang tanda yang boleh membantu menemukan lelaki itu.

    “Pemantauan itu sentiasa dibuat oleh pihak berkuasa Iran kerana kawasan itu ramai pendaki,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda