Stellantis, Samsung SDI hasil bateri EV

SEOUL, 22 OKT – Pembuat bateri dari Korea Selatan, Samsung SDI akan bekerjasama menghasilkan bateri kereta elektrik (EV) di Amerika Syarikat dengan pembekal kenderaan global, Stellantis, menurut kenyataan dikeluarkan oleh firma Korea Selatan hari ini, perjanjian kedua seumpamanya pada minggu ini.

Kedua-dua buah syarikat akan membangunkan ‘badan pengeluaran bersama’ di AS untuk menghasilkan ‘sel dan modul bateri EV’, menurut kenyataan Samsung SDI, dengan pengeluaran bakal dimulakan pada 2025 dan bekalan hasil pengeluaran kepada kilang-kilang automobil Stellantis di Kanada, Mexico dan AS.

Stellantis, yang merangkumi jenama AS, Jeep, Chrysler dan Ram, turut memiliki syarikat pembuatan kenderaan Eropah iaitu Peugeot, Citreon, Fiat, Opel dan Alfa Romeo, antaranya.

Ia membentuk gabungan antara syarikat Perancis, Peugeot dan syarikat AS-Itali, Fiat Chrysler awal tahun ini, dan kira-kira 2.2 juta jenama kereta Stellantis dijual di Utara Amerika pada 2019.

Samsung SDI sudah mempunyai kilang bateri EV di China, Hungary dan Korea Selatan dan ia merupakan sebahagian daripada syarikat kumpulan Samsung, yang merupakan subsidiari pembuat cip dan telefon pintar terbesar dunia, Samsung Electronics.

Sama seperti rakan kongsinya, Stellantis menyasarkan sasaran untuk berpindah kepada kenderaan yang menggunakan bateri elektrik ketika peraturan pencemaran semakin diketatkan.

Awal minggu ini, pembuat kenderaan AS-Eropah berkata ia akan bekerjasama dengan syarikat dari Korea Selatan, LG Energy Solution, untuk membangunkan bateri kereta litium di Utara Amerika.- AFP

Gambar fail sebuah kereta elektrik Endurance yang dipamerkan di Ohio. Samsung SDI dan Stellantis akan bekerjasama menghasilkan bateri elektrik bermula 2025.- AP