Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    STEM menyemai pembelajaran sepanjang hayat

    Oleh Nurdiyanah R.

    Demi melahirkan golongan kanak-kanak atau new breed berfikiran kritis dan kreatif yang aktif serta mampu menempuhi kemahiran hidup abad ke-21 sehingga menjadi insan-insan pencipta, inovator, pendidik, penyelidik, dan pemimpin pada masa depan.

    Itulah antara pegangan falsafah Little Einsteins Daycare selaku salah sebuah pusat penjagaan swasta di negara ini yang satu-satunya menerapkan pendidikan utamanya berteraskan program Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) sejak bulan Februari lalu.

    Berkesempatan ditemui penulis, pemilik, Little Einsteins Daycare yang terletak di Kampung Tanjung Bunut, Ir Awang Bahrin bin Haji Mohammad, yang juga selaku perunding jurutera di syarikat kejuruteraan tempatan, Bahrin Mohammad & Associates, menyatakan sebelum tertubuhnya pusat penjagaan berkenaan, beliau telah mengikuti kursus di bawah program Early Childhood STEM Building The Foundation bersama Little Scientists Australia di mana ia merupakan francais program pendidikan berasal dari Jerman.

    “Melihat kepada Pertandingan Anugerah Creative, Innovative Product and Technological Advancement (CIPTA) Duli Pengiran Muda Mahkota yang berlangsung saban tahun, hanya menumpukan penglibatan kepada golongan pelajar yang kebanyakannya di peringkat institusi pengajian tinggi dan menengah namun hakikatnya apabila golongan kanak-kanak di peringkat rendah menerima pendedahan pendidikan STEM lebih awal lagi semasa usia masih kecil lagi sudah pasti mereka juga layak menyertai pertandingan sedemikian sehingga mampu menjadi golongan inventors dan innovators muda tanah air.

    “Itulah antara salah satu harapan tulus kami untuk menubuhkan pusat penjagaan dengan memperkenalkan program STEM dalam mendidik kanak-kanak pada usia seawal usia setahun lagi. Ini kerana STEM sememangnya dapat membantu mereka dalam aspek penerokaan pembelajaran sehingga mampu menempuhi cabaran atau menyelesaikan masalah merentasi pelbagai tugas dan disiplin kehidupan dunia hari ini dan berikutnya,” ujarnya lanjut.

    Pemilik Little Einsteins Daycare Ir Awang Bahrin, semasa ditemui penulis.
    Best Umbrella Challenge juga salah satu eksperimen saintis makmal yang diterapkan dalam program STEM.
    Salah satu eksperimen sains yang diketengahkan, Rubber Band Guitar iaitu dengan menggunakan bahan seperti kotak tisu, gelang getah dan pensel.

    ‘STEM’ menyemai pembelajaran sepanjang hayat

    Ir Awang Bahrin yang juga pemegang ijazah BEng Civil Engineering di University of Manchester dan MSc Construction Law di University of Wolverhamptom turut menerangkan lebih lanjut ada pun menerusi penerapan program STEM berkenaan dalam kalangan kanak-kanak adalah menjadi matlamat mereka untuk memupuk keinginan semula jadi mereka ke arah perkembangan setiap individu itu dari segi kemahiran sosial, emosi, fizikal dan kognitif menjadi lebih positif untuk hari ini dan pada akan datang.

    “Pastinya menerusi pendidikan STEM ini mampu mewujudkan jiwa dan sema- ngat ingin tahu dalam kalangan kanak-kanak ketika mereka mengikuti pelbagai aktiviti berkonsepkan saintis makmal menggunakan perkakas yang tidak asing lagi dalam kehidupan sehari-hari sehingga mampu menikmati realiti kehidupan berkenaan dengan sendirinya. Hal ini, secara tidak langsung, demi menanai visi pusat penjagaan untuk menyemai amalan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar,” tambahnya.

    Menyentuh mengenai beberapa aktiviti saintis makmal yang diterapkan dalam program STEM berkenaan, beliau yang merupakan salah seorang ahli Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan, Negara Brunei Darussalam dan ahli Majlis Pertubuhan Ukur Jurutera dan Arkitek, PUJA menyatakan salah satu eksperimen Sains yang diketengahkan itu ialah Rubber Band Guitar, iaitu dengan menggunakan bahan seperti kotak tisu, gelang getah dan pensel.

    Bermula dengan membuang lapisan plastik di lubang permukaan kotak tisu yang kosong itu dan diikuti dengan membaluti gelang getah di sekeliling kotak berkenaan sejajar di atas lubang tersebut. Kemudian memasukkan dua atau lebih batang pensel di bawah gelang getah pada setiap sisi lubang. Kemudian kanak-kanak diarahkan untuk memetik gelang getah itu dengan jari mereka dan mendengarnya dengan teliti.

    Dengan adanya eksperimen berkenaan, jelas Ir Awang Bahrin lanjut, apabila kita memetik gelang getah, ia akan membuatnya bergetar. Ini menyebabkan molekul udara berdekatan itu bergetar, sehingga menghasilkan gelombang bunyi yang bergerak ke telinga kita. Dalam perkara ini, otak kita akan menafsirkan getaran ini dan dapat mendengar langsung bunyi getaran tersebut.

    Selain itu, Best Umbrella Challenge juga salah satu eksperimen saintis makmal yang diterapkan dalam program STEM namun lebih menjurus kepada aspek kejuruteraan yang secara umumnya bertujuan untuk menguji pemikiran kanak-kanak bagaimana untuk mereka bentuk payung dengan kreativiti mereka masing-masing dengan menggunakan bahan-bahan perkakas seperti span, batang kayu popsicle dan piring kertas.

    Kemudian setelah mereka berjaya menghasilkan payung rekaan itu diarahkan pula untuk mereka meletakkan payung di atas mainan kecil dan perlahan-lahan disiram dengan air menggunakan botol semburan lalu tanya mereka keadaan mainan sama ada kering atau basah.

    “Menerusi cabaran eksperimen STEM terbuka ini, pastinya setiap kanak-kanak tidak mempunyai jawapan yang betul namun apa yang terpenting di sini agar mereka mampu mengakses kreativiti dan pengetahuan untuk menghasilkan penyelesaian baharu bagi sesuatu masalah. Dalam perkara ini, mereka diajar akan kegunaan payung yang sebenar terutamanya bagi mengelak dan mengurangkan kebasahan ketika berlakunya hujan,” jelasnya.

    Bersama menjayakan SDGs

    Selaku salah seorang ahli ASEAN Future Workforce Council dan ahli teras dalam Manpower Industry Steering Committee (MISC) di bawah Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), Negara Brunei Darussalam, Ir Awang Bahrin dengan penubuhan pusat penjagaan ini juga ia secara tidak langsung memberi peluang kepada anak-anak tempatan di negara ini mendapatkan pekerjaan di mana seramai 10 orang tenaga pengajar yang memiliki kepakaran masing-masing terutamanya dalam bidang-bidang pengkhususan saintis makmal bagi menjalankan pengajaran program STEM dan juga aspek pusat penjagaan telah diamanahkan untuk membimbing kanak-kanak di bawah pusat jagaan tersebut.

    Jelasnya lagi, dalam anggaran tidak melebihi 33 orang pelajar telah ditetapkan di bawah pusat berkenaan mengikut garis pandu yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Dengan berorientasikan semangat kerjaya dan pekerjaan menerusi pengetahuan pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan dalam program STEM tersebut, Ir Awang Bahrin turut berkongsi salah satu perancangan jika situasi mengizinkan untuk memuatkan sesi perkongsian bersama para pakar antaranya jurutera, doktor dan juruterbang untuk meluangkan masa bersama pelajar-pelajar. Di samping, dengan mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik seperti lapangan terbang, pembinaan, pusat membeli-belah dan sebagainya dengan harapan untuk membuka minda dan membakar semangat mereka untuk menyelami cita-cita dan impian mereka suatu hari nanti.

    Dalam pada itu, Ir Awang Bahrin turut mengongsikan dalam melaksanakan pusat penjagaan berkenaan, salah satu usaha berterusan dilaksanakan ialah dalam sama-sama menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan antaranya Zero Paper Policy, cabaran yang dihadapi dunia seperti isu perubahan iklim cuaca dan pengenalan tenaga boleh diperbaharui.

    “Kita mengetahui semua pusat pendidikan terutama pusat penjagaan dan apa sahaja institusi pendidikan di negara ini memiliki keistimewaan identiti yang tersendiri. Namun alangkah baiknya jika penerapan program pendidikan STEM ini diterapkan dalam bermula dari usia kecil lagi agar golongan ini lebih terbuka jati diri mereka untuk bersiap sedia menempuhi cabaran dalam dunia pendidikan pada masa kini, lebih-lebih lagi ketika beralih dari satu fasa peringkat pendidikan seterusnya,” ucapnya di akhir pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...