Sterling cemerlang

NANJING, 18 JULAI – Pemain baharu Manchester City, Rodri membuat penampilan sulung namun Raheem Sterling meledak dua gol ketika juara Liga Perdana Inggeris itu bangkit selepas ketinggalan sebelum membenam West Ham 4-1 di China, malam ini.

Hammers mendahului menerusi sepakan penalti Mark Noble sebelum David Silva menyamakan kedudukan buat City, kemudian Lukas Nmecha menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu anak buah Pep Guardiola mendahului ketika rehat.

Sterling, pemain kebangsaan England yang menikmati musim terbaiknya tahun lalu bersama kelab dan negara, menyumbat dua gol pada babak kedua ketika benteng West Ham terlelap di Nanjing.

Guardiola membariskan gabungan pemain utama dan simpanan dengan Silva mengetuai pasukan itu dan Kevin De Bruyne, yang terlepas hampir keseluruhan musim lalu kerana kecederaan, tampil sebagai pemain gantian babak kedua.

Dia disertai selepas rehat oleh pemain sayap Jerman, Leroy Sane, yang dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke Bayern Munich.

Rodri, midfield kebangsaan Sepanyol menyertai City awal bulan ini dengan kontrak lima tahun dari Atletico Madrid.

Pemain berusia 23 tahun itu secara rasmi menjadi pemain City sehari selepas kelab La Liga itu mendedahkan klausa tebus kontrak 70 juta euro sudah diaktifkan.

Kehadiran City di China bagi Trofi Liga Perdana Asia terlewat selama dua hari kerana “isu pentadbiran.”

City akan berdepan Wolverhampton Wanderers yang menewaskan Newcastle United 4-0 pada final di Shanghai, Sabtu ini. – AFP

Sterling ketika bersaing menentang West Ham United di Nanjing, kelmarin. – AFP