Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Sterling pemain pertama era baharu Chelsea

    LONDON, 14 JULAI – Raheem Sterling menjadi pemain pertama Chelsea sejak konsortium Todd Boehly membeli kelab itu, sekali gus menamatkan tempoh kejayaannya selama tujuh tahun di Manchester City.

    Penyerang berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun dengan bayaran dilaporkan AS$59 juta.

    Terdahulu, Sterling telah menghantar mesej perpisahan di media sosial mengatakan dia meninggalkan City sebagai ‘seorang dewasa’ setelah tiba dari Liverpool ketika berusia 20 tahun.

    Walau bagaimanapun, sebaik sahaja perpindahan itu dirasmikan, Sterling yang kini bersama Chelsea dalam jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat kini telah menumpukan perhatiannya kepada cita-cita yang ingin dicapai di bawah pengendalian Thomas Tuchel.

    Sterling yang membuat penampilan sebanyak 77 kali bersama England telah memenangi empat kejuaraan Liga Perdana antara sembilan trofi utama sejak menyertai City dari Liverpool pada 2015.

    Gambar fail menunjukkan Raheem Sterling mengawal bola semasa perlawanan bola sepak pusingan kedua 16 Liga Juara-Juara UEFA pada 9 Mac 2022. – AFP

    Muncul sebagai pemain utama pada tahun-tahun awal kendalian Pep Guardiola di City, Sterling menjaringkan sebanyak 131 gol dalam 337 penampilan untuk juara England itu.

    Walau bagaimanapun, kedudukannya dalam kesebelasan utama di City semakin terancam sejak pembelian Jack Grealish dengan rekod Liga Perdana £100 juta tahun lalu, ditambah dengan kemunculan Phil Foden dari akademi kelab tersebut.

    Sterling dilaporkan akan bermain di Stamford Bridge untuk musim baharu dengan kemasukan pemain pertahanan baharu dari Napoli, Kalidou Koulibaly.

    The Telegraph melaporkan perjanjian £34 juta telah dipersetujui antara kelab untuk bek tengah berusia 31 tahun itu.

    Chelsea perlu mengukuhkan bentang pertahanannya selepas Antonio Rudiger dan Andreas Christensen meninggalkan kelab itu sebagai ejen bebas untuk menyertai Real Madrid dan Barcelona. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...