Sterling ‘terbuka’ tinggalkan City

LONDON, 15 OKT – Raheem Sterling mengakui kelmarin bahawa dia ‘terbuka’ untuk berpindah dari Manchester City untuk mendapatkan lebih banyak peluang beraksi dan berharap untuk berpindah ke kelab luar negara sebagai salah satu cita-citanya.

Pemain kebangsaan England berusia 26 tahun itu bersama kelab juara Liga Perdana Inggeris sejak 2015 apabila dia membuat perpindahan dari Liverpool.

Walau bagaimanapun, setakat ini dia hanya diturunkan sebanyak dua kali dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini di bawah kendalian Pep Guardiola.

Bercakap di FT Business of Sport US Summit, Sterling berkata, “Sekiranya ada peluang untuk berpindah ke kelab lain, saya terbuka untuk membuat sebarang rundingan pada masa ini.

“Seperti saya katakan, bola sepak adalah perkara paling penting dalam hidup saya, cabaran yang saya tentukan sendiri dari muda dan impian saya adalah bermain di luar negara.

“Sebagai seorang pemain Inggeris, apa yang saya tahu adalah Liga Perdana Inggeris dan saya sentiasa menaruh cita-cita barang kali suatu hari nanti saya ingin bermain di luar negara untuk melihat bagaimana saya dapat mengharungi cabaran tersebut.”

Sterling mungkin diberikan peluang untuk turun beraksi esok menentang Burnley selepas pemain sayap City, Ferran Torres mengalami kecederaan sewaktu bermain mewakili Sepanyol di Liga Negara-Negara Eropah.

Meskipun jarang beraksi, Sterling, yang masih terikat kontrak dengan City sehingga 2023, berkata dia tidak akan meminta lebih banyak waktu beraksi dari Guardiola. – AFP

Gambar fail aksi Raheem Sterling bermain untuk England. Sterling mendedahkan dia terbuka untuk sebarang tawaran bermain di luar negara. – AP