LONDON, 10 NOV – Gareth Southgate berkata pintu masih terbuka 100 peratus untuk Raheem Sterling selepas menyisihkan penyerang Chelsea itu daripada skuad England bagi menghadapi baki saingan kelayakan Euro 2024.
Southgate yang skuadnya sudah memastikan tempat di kejohanan yang berlangsung di Jerman tahun depan menyenaraikan 25 pemain untuk aksi di tempat sendiri menentang Malta pada 17 November dan kunjungan ke North Macedonia tiga hari kemudian.
Sterling yang mempunyai 82 perlawanan antarabangsa dan 20 gol untuk England tidak beraksi dengan skuad kebangsaan sejak Piala Dunia di Qatar tahun lalu di mana England layak ke suku akhir.
“Pintu terbuka 100 peratus bukan sahaja untuk Raheem tetapi pemain lain,” kata Southgate. “Tiada keraguan mengenainya.
“Kami tak perlu tahu kualiti dan personalitinya. Dia pemain penting sejak beberapa tahun lalu.”
Namun pengurus England itu berkata, sukar untuk mengetepikan pemain lain yang sedang berada di kemuncak prestasi bagi memberi ruang kepada Sterling yang menjaringkan empat gol untuk Chelsea musim ini.
“Dia tidak bersama kami pada Mac dan Jun ketika pasukan beraksi dengan baik,” katanya.
“Kami menang di Itali kali pertama sejak 60 tahun lalu,” tambahnya. – AFP
