Sterling wira Citizens

GELSENKIRCHEN, Jerman, 21 Feb – Raheem Sterling melengkapkan kemenangan dramatik 3-2 dalam persaingan Liga Juara-Juara bagi pasukan Manchester City yang beraksi dengan 10 pemain awal pagi tadi ketika juara Inggeris menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit terakhir.

Sterling menjaringkan gol kemenangan di laman luar di Veltins Arena pada minit ke-90 selepas pemain gantian Leroy Sane menjaringkan gol menerusi sepakan bebas bagi pendahulu Liga Perdana itu menentang bekas kelabnya dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir.

Schalke mendahului kedudukan 2-1 pada separuh masa ketika Video Bantuan Pengadil (VAR) dua kali digunakan untuk memberikan sepakan penalti, yang disempurnakan kedua-duanya oleh Nabil Bentaleb, membatalkan jaringan pembukaan Sergio Aguero di Gelsenkirchen.

City menghadapi masalah dengan perlawanan hanya berbaki 22 minit apabila Nicolas Otamendi yang menghadiahkan sepakan penalti pertama, diarah keluar padang kerana dilayangkan kad kuning kedua sebelum jaringan Sane dan gol kemenangan menerusi Sterling.

Bagaimanapun, City masih mempunyai tugasan yang perlu dilakukan dalam aksi perlawanan timbal balik pada 12 Mac dengan Fernandinho, yang dilayangkan kad kuning apabila menghadiahkan sepakan penalti kedua, dan Otamendi digantung perlawanan.

Schalke berada di atas zon penyingkiran Bundesliga dan belum mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka, namun mereka memberikan ancaman kepada pendahulu Liga Perdana, City.

Tuan rumah bergelut lebih awal untuk keluar dari kawasan mereka ketika City mendominasi 30 minit permainan lebih awal, sehingga perlawanan secara dramatik memberikan Schalke dua sepakan penalti.

Schalke terpaksa mengekori bagi jaringan pembukaan City pada minit ke-18 apabila hantaran lemah dari penjaga gol Ralf Faehrmann kepada Salif Sane dapat dirampas oleh David Silva.

Pemain dari Sepanyol itu menghindarkan Faehrmann dan membuat hantaran kepada Aguero untuk menjaringkan gol ke-10 dalam tujuh kemunculannya bersama City. – AFP

Sterling meraikan jaringannya selepas meledak gol kemenangan Manchester City menentang Schalke di Veltins Arsena, Gelsenkirchen, Jerman. – AP