DNIPRO, UKRAINE, 16 MAC – Pasukan Rusia hari ini menyasarkan bandar Zaporizhzhia di selatan Ukraine, di mana beribu-ribu pelarian berlindung selepas melarikan diri dari bandar pelabuhan Mariupol yang terkepung, kata pegawai wilayah.
“Orang awam telah dibom buat kali pertama di Zaporizhzhia,” tulis gabenor wilayah, Alexander Starukh di platform media sosial Telegram.
“Roket itu disasarkan di kawasan stesen kereta api Zaporozhye-2,” tambahnya, menyatakan tiada kemalangan jiwa.
Bandar Zaporizhzhia ialah tempat persinggahan pertama bagi mereka yang melarikan diri dari Mariupol.
Kebanyakanya kemudian menuju ke barat negara itu, ke Poland atau negara bersempadan lain.
Mariupol menghadapi malapetaka kemanusiaan menurut agensi bantuan, kerana pengeboman berat menyebabkan kira-kira 400,000 penduduk tidak mempunyai air atau pemanas dan makanan kehabisan.
Kira-kira 20,000 orang berjaya meninggalkan bandar pelabuhan yang dikepung kelmarin melalui koridor kemanusiaan yang dipersetujui dengan tentera Rusia.
Menakluki Mariupol, yang terletak 55 kilometer dari sempadan Rusia, akan menandakan kejayaan strategik bagi Presiden Vladimir Putin.
Bandar ini terletak di antara wilayah yang dikuasai oleh pemisah yang disokong Rusia di wilayah Donbas dan semenanjung Crimea, yang dirampas oleh Moscow pada 2014 dan dari situ ia telah melancarkan serangannya ke atas bandar-bandar utama di selatan. – AFP