KUCHING, 11 MEI – Stesen solar hibrid di Long San, sebuah kawasan penempatan terletak 221 kilometer dari bandar utara Sarawak, Miri, merupakan satu lagi bukti usaha kerajaan negeri ke arah mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2025, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, stesen itu akan memenuhi keperluan kepada tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api diesel.
Ia juga membolehkan perkhidmatan asas seperti fasiliti penjagaan kesihatan dan pendidikan di kawasan pedalaman di negeri ini seperti Long San beroperasi dengan lancar, katanya.
“Kami akan terus mengambil langkah untuk merapatkan jurang antara komuniti luar bandar dan bandar dengan memanfaatkan inisiatif sedia ada seperti Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) dan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) untuk membekalkan tenaga elektrik murah,” katanya. – Bernama
