MOSCOW, 7 Ogos – Kementerian Luar Rusia melantik pelakon popular Hollywood, Steven Seagal sebagai wakil khas bagi Hubungan Kemanusiaan Rusia dan Amerika Syarikat serta Warisan Budaya dan Sejarah, lapor agensi berita Xinhua.
“Seagal dijangka mempromosikan pembangunan dan pelaksanaan projek kerjasama dua hala dalam bidang kebudayaan, seni, sains, pendidikan, olahraga dan program pertukaran belia.
“Selain itu beliau juga akan terlibat dengan acara berkaitan di Rusia dan di luar negara selain mengekalkan hubungan dengan Amerika Syarikat,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
“Saya amat terharu dan berbangga kerana dilantik sebagai wakil khas Kementerian Luar Rusia dan berharap dapat berusaha mencapai keamanan dan keharmonian di dunia,” kata Seagal.
Pelakon Amerika Syarikat berusia 66 tahun itu diberikan kerakyatan Rusia pada tahun 2016 oleh Presiden Vladimir Putin. – Bernama