Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Pusat Pendermaan Darah pada masa ini sedang berhadapan kekurangan bekalan darah dan memerlukan penderma-penderma bagi semua jenis darah dengan segera.
Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan menyeru agar orang ramai tampil untuk menderma darah di Pusat Pendermaan Darah atau di tabung-tabung darah yang berdekatan semasa waktu bekerja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini, hari ini, menyatakan bahawa Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan mengadakan kempen-kempen derma darah iaitu pada 28 Mei ini di Unit G32, Aras Bawah, The Mall, Gadong, anjuran Maju Motors Sdn Bhd bermula dari pukul 10 pagi hingga 2 petang dan pada hari yang sama, di Persatuan Hokkien Brunei, Kiulap akan bermula dari pukul 9 hingga 11:30 pagi.
Orang ramai yang ingin menderma darah sama ada di Pusat Pendermaan Darah atau semasa kempen-kempen derma darah adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad terlebih dahulu.