Stok darah rendah, jom tambah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Stok bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah kini berada di tahap rendah dan semua jenis darah amat diperlukan, terutamanya kumpulan B Positif yang diperlukan segera.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan orang ramai untuk membantu para pesakit di semua hospital kerajaan termasuk Pusat Pengasingan Kebangsaan yang memerlukan pemindahan dan sedang menunggu bekalan darah.

Menurut kenyataan diterima daripada Kementerian Kesihatan, orang ramai yang ingin membantu mempertingkatkan stok bekalan darah boleh menderma secara jumpa terus pada Isnin sehingga Khamis dan Sabtu bermula 8 pagi sehingga 1:30 petang.

Sementara itu, perkhidmatan pendermaan darah di Pusat Promosi Kesihatan masih lagi dibukakan kepada orang ramai hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pendermaan darah di Pusat Promosi Kesihatan dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi dan disambung semula dari 12:30 tengah hari hingga 1:30 petang.

Orang ramai boleh membuat tempahan slot derma darah di Pusat Promosi Kesihatan melalui aplikasi Bloodkad atau datang terus ke Pusat Promosi Kesihatan pada waktu yang ditetapkan.

Penderma darah juga boleh mengunjungi Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Belait dan Tabung Darah Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Temburong untuk menderma darah pada waktu-waktu yang telah di tetapkan.

Pendermaan darah bagi Tabung Darah Hospital SSB akan beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8 pagi hingga 2:30 petang.

Manakala itu, Tabung Darah Hospital PIHM akan beroperasi dari Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pendermaan Darah di talian atau WhatsApp 7375745 atau e-mel ke bloodbank@moh.gov.bn dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).