Stok kertas habis, pengeluaran sijil kelahiran Sabah tertangguh

KOTA KINABALU, 10 DIS – Pengeluaran sijil kelahiran di Sabah tertangguh disebabkan kertas yang digunakan untuk mencetak dokumen berkenaan telah habis, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah Khairrul Aminus Kamaruddin.

Beliau berkata stok kertas sijil kelahiran JPN Sabah pada tahun ini adalah sebanyak 24,801 keping namun terputus bekalan dan kehabisan stok pada awal Oktober lepas.

“Setakat ini, sijil kelahiran yang tertangguh atau menunggu stok untuk cetakan adalah kira-kira 3,200 permohonan.

Kelewatan pengeluaran sijil lahir berkenaan adalah disebabkan kekurangan bekalan sijil ekoran bekalan kertas yang digunakan adalah diimport daripada pengilang di China.

“Kelewatan bekalan kertas tiba di Malaysia disebabkan kejadian banjir di negara berkenaan baru-baru ini. Semakan mengesahkan bekalan kertas berkenaan sudah tiba di negara ini dan melepasi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 6 Dis lepas,” katanya pada sidang media di sini hari ini. – Bernama