Stones bantu Citizens benam Crystal Palace

MANCHESTER, 18 JAN – John Stones mengakui dia perlu bangkit untuk mendapatkan kembali kepercayaan Pep Guardiola setelah menjaringkan dua gol ketika Manchester City menewaskan Crystal Palace 4-0 semalam.

City melonjak ke kedudukan kedua di Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya dua mata di belakang pendahulu liga, Manchester United dengan mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Gandingan Stones dengan Ruben Dias memainkan peranan penting dalam 15 perlawanan tanpa kalah Citizens dan pemain pertahanan England itu juga menjaringkan dua gol pertama untuk kelab setelah lima musim di Manchester.

Penandatanganan Dias dan Nathan Ake semasa jendela perpindahan musim panas mungkin menandakan berakhirnya waktu Stones di Etihad setelah dia berjuang untuk mendapatkan tempat walaupun Guardiola kekurangan pilihan pemain pertahanan tengah musim lalu berikutan pemergian Vincent Kompany dan kecederaan Aymeric Laporte

“Ia adalah sangat sukar ketika anda tidak selalu bermain dan anda tidak dapat mengekalkan prestasi seperti yang anda mahu kerana anda terlalu banyak memberi tekanan pada diri sendiri,” jelas Stones. – AFP

Reaksi John Stones dari Manchester City meraikan jaringan golnya semasa perlawanan menentang Crystal Palace di Stadium Etihad semalam. – AP