Stor, dua kereta dijilat api

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN , 7 JULAI – Api marak telah meranapkan stor bawah rumah satu tingkat dan turut memusnahkan dua buah kereta dalam insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Lumapas pada jam 2:47 petang, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di sini hari ini, sebaik menerima panggilan kecemasan, lapan anggota bomba yang diketuai oleh DSO Maidin dari Balai Bomba Sungai Kebun telah berkejar ke tempat kejadian dan mendapati api marak membakar tingkat bawah rumah tersebut.

Anggota bomba segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran menggunakan dua jet hos dan berjaya dikawal dalam masa lima minit.

Kenyataan seterusnya menambah, seramai 13 orang penghuni rumah dalam keadaan selamat dan tiada mendapat sebarang kecederaan dengan tiada korban jiwa dilaporkan. Sementara itu, anggaran kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Kebakaran di tingkat bawah rumah berkenaan berjaya dikawal. – Gambar serahan JBP