Stor musnah dalam kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Sebuah stor musnah keseluruhannya dalam kejadian kebakaran di Kampung Bukit Bunga, Jerudong pagi tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, tujuh orang anggota dari Balai Bomba Jerudong, Cawangan Operasi F yang diketuai oleh DSO Yusof bin Bujang, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 9:49 pagi.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, api besar membakar keseluruhan stor.

Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran berkenaan dengan air diperoleh daripada jentera bomba dan pili-pili bomba. Api dapat dipadamkan dalam masa 5 minit dengan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

JBP menyarankan kepada orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan pemadam api ringkas jenis debu kering 4kg dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, tidak se-sekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas, pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran pada sebuah stor dalam kejadian yang berlaku di Kampung Bukit Bunga, Jerudong pada pagi kelmarin. – Gambar serahan JBP