Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Seramai 12 murid Sekolah Rendah Rimba 1 bersama tiga guru pengawas, pagi tadi, telah berlepas ke Singapura bagi mengikuti Program Sekolah Berkembar (STP) anjuran Sekolah Rendah Temasek, Singapura.
Program tersebut adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Singapura yang dijalankan sejak tahun 2006. Ia merangkumi pertukaran pelajar, guru-guru dan pentadbiran sekolah dari kedua-dua buah Negara.
Antara tujuan STP adalah untuk mengeratkan hubungan antara kedua-buah negara dalam berkongsi maklumat dan pengalaman dalam hal ehwal pendidikan, di samping memperluaskan pendidikan bagi keperluan masa depan.
Setakat ini, tujuh buah sekolah tempatan digabungkan bersama tujuh buah sekolah dari Singapura selama empat tahun yang mana setiap sekolah yang digabungkan dijangka menamatkan program bertukar-tukar lawatan dan menjadi hos kepada rakan sekolah.
Bagi Sekolah Rendah Rimba 1 dan Sekolah Rendah Temasek, mereka digabungkan bagi penggal 2015-2018 dan ini kali pertama mereka membuat lawatan ke Singapura sebagai penyertaan untuk menjadi hos program berkembar tahun depan di Brunei Darussalam.
