LONDON, 13 Okt – Gordon Strachan telah mengundur diri sebagai pengurus Scotland susulan kegagalan pasukan itu melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan, umum Persatuan Bola Sepak Scotland (SFA) semalam.
SFA berkata bahawa Strachan dan pembantunya, Mark Mcghee akan keluar dengan segera bagi memberikan penggantinya masa maksimum utuk persiapan kempen kelayakan Euro 2020.
Scotland terlepas slot bagi play-off Piala Dunia selepas seri 2-2 di laman lawan kepada Slovenia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan minggu lepas.
“Saya berkongsi kekecewaan ini kerana terlepas slot play-off, terutamanya setelah bekerja keras untuk kembali bangkit,” kata Strachan dalam kenyataan SFA.
“Para pemain perlu diberikan pujian atas kecekalan mereka untuk bangkit daripada permulaan sukar dan saya mahu berterima kasih kepada semua dan setiap pemain yang datang mewakili negara mereka.
Bekas pemain tengah Scotland dan Manchester United, Strachan, 60, telah dilantik pada bulan Januari 2013 selepas Craig Levein dipecat susulan permulaan hambar dalam kelayakan Piala Dunia.
Scotland juga terlepas slot ke Piala Dunia 2014 dan meskipun persembahan meningkat dalam kelayakan Euro 2016, mereka tercicir lagi.
Kedudukan Strachan semakin tidak menentu selepas mereka membuat permulaan sukar untuk layak ke Piala Dunia 2018, tetapi mereka bangkit dan menamatkan kempen tanpa kalah dalam enam perlawanan terakhir mereka. – AFP