PARIS, 25 DIS – Strain koronavirus yang sudah bermutasi dan menular di Britain adalah 56 peratus lebih mudah berjangkit berbanding dengan versi asal virus itu, kata saintis-saintis dalam satu kajian, sekali gus mendesak pemberian vaksin dipercepatkan bagi membantu mencegah lebih banyak kematian.
Varian baharu itu yang muncul di tenggara England pada November lalu dan menular dengan cepat, kemungkinan akan meningkatkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19 tahun depan, menurut kajian yang diterbitkan pada Rabu oleh Pusat Pemodelan Matematik Penyakit Berjangkit di London School of Hygiene and Tropical Medicine.
Penyelidik yang menumpu di sekitar timur, tenggara English, London mengatakan masih belum pasti sama ada strain bermutasi itu lebih atau kurang mengakibatkan kematian berbanding versi sebelumnya.
“Namun demikian, peningkatan kemampuan virus untuk menular mungkin menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19 mencapai tahap yang lebih tinggi pada 2021 daripada 2020,” menurut penyelidik itu.
Mereka mengingatkan bahawa perintah berkurung di England pada November tidak mungkin dapat mencegah peningkatan jangkitan kecuali sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti juga ditutup.
Dalam mengumumkan langkah sekatan yang lebih ketat sepanjang cuti Krismas, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengatakan pada Sabtu bahawa strain virus baharu mungkin hingga 70 peratus lebih mudah disebarkan berbanding versi asal penyakit itu.
Penemuan strain baharu tersebut telah mengejutkan dunia ketika lebih banyak negara memulakan kempen vaksinasi untuk menghentikan wabak yang meragut lebih 1.7 juta nyawa sejak ia muncul setahun yang lalu di China.
Banyak negara serta-merta melarang perjalanan dari Britain, tetapi kerajaan-kerajaan Kesatuan Eropah mula melonggarkan sekatan berkenaan.
Pengasas bersama BioNTech mengatakan bahawa ubatnya ‘mungkin berkesan’ untuk menentang strain bermutasi yang dikesan di Britain atau mungkin boleh serasi dalam masa enam minggu. – AFP





























