Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Peruntukan berjumlah $606,027,220 telah diluluskan untuk Kementerian Pertahanan bagi Tahun Kewangan 2020/2021, yang meningkat sebanyak 0.27 peratus berbanding tahun kewangan lalu.
Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam pembentangan belanjawan bagi kementeriannya pada hari keempat Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-16, di Bangunan Dewan Majlis, hari ini. Dalam pembentangannya itu, Yang Berhormat Pehin mengongsikan bahawa dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan yang sedang berlaku termasuk keadaan geopolitik luar negara dan penyebaran wabak COVID-19, Kementerian Pertahanan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama.
Tonggak-tonggak berkenaan ialah keupayaan cegah rintang dan respons, diplomasi pertahanan dan pertahanan holistik. Di bawah tonggak pertama, Yang Berhormat Pehin menekankan mengenai keupayaan pertahanan dan persenjataan serta latihan-latihan yang diperlukan.
Beliau menyatakan, pemerolehan aset pertahanan dan persenjataan bagi mengurangkan jurang keupayaan mahupun keupayaan baharu diperlukan untuk memenuhi tugasan dan tanggungjawab semasa.
Antara pemerolehan keupayaan yang dilakukan oleh kementerian berkenaan ialah perkhidmatan dan pembaikan bagi armada Tentera Laut Diraja Brunei yang diusahakan melalui Syarikat Muara Maritime Services Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Darussalam Assets dan Lurssen Internaval GmbH dari Jerman, pemerolehan bot tempur KH-27 Tentera Darat Diraja Brunei dan pemerolehan keupayaan Unmanned Aerial Systems (UAS).
Di arena pertahanan siber, kementerian menubuhkan Unit Pertahanan Siber untuk melengkapkan sepenuhnya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi mengatasi ancaman-ancaman global yang dinamik, pantas dan merentas sempadan.
Mengenai diplomasi pertahanan, Yang Berhormat Pehin telah menggariskan penglibatan dalam pelbagai operasi pengamanan, misi antarabangsa, penyertaan dalam eksesais, mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa pertahanan kerja bersama, bantuan dan sumbangan kemanusiaan juga membentuk usaha diplomatik kementerian dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau.
Sementara itu, di bawah tonggak pertahanan holistik, Yang Berhormat Pehin berkata, ia melibatkan strategi dan dasar di peringkat kebangsaan melalui pendekatan Whole of Nation.
Kementerian Pertahanan mengesahkan keperluan untuk memajukan hala tuju negara ke arah memanfaatkan teknologi semasa dalam era Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4).
Usaha ini dapat dilihatkan melalui penerbitan Rangka Kerja Strategi Digital Pertahanan dan Rangka Kerja Dasar Sains dan Teknologi, termasuk juga usaha kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan teknologi dengan Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua kemudian menyimpulkan mukadimah dengan memaklumkan bahawa ketiga-tiga tonggak utama akan dilaksanakan secara bersepadu yang menitikberatkan strategi-strategi pertahanan dalam jangka masa panjang.
Dasar pertahanan dan pelan-pelan tersebut akan digariskan dengan lebih lanjut dengan satu kertas putih pertahanan baharu yang akan direalisasikan menjelang usia ABDB yang akan menyambut jubli intan 60 tahun pada tahun hadapan dan bersempena dengan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN pada 2021.