Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam dilancar

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Dalam usaha pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam khususnya dalam meningkatkan keberkesanan dan kelestarian langkah amalan pemakanan sihat, Kementerian Kesihatan telah menghasilkan Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam Negara Brunei Darussalam 2023-2030.

    “Penggubalan strategi ini mengambil kira akan jumlah penduduk yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan penyakit jantung di Negara Brunei Darussalam, yang sebahagiannya disebabkan oleh pengambilan garam yang tinggi.”

    Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim dalam kata alu-aluannya pada Pelancaran Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam 2023 yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran strategi berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Haji Kamarul Azam bin Haji Mohamad; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyaksikan pameran.
    Buku Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam 2023-2030 yang dilancarkan.

    Dr Hajah Norhayati menyatakan lagi, dalam kalangan penduduk negara ini, kadar pengambilan garam adalah di tahap yang tinggi iaitu sebanyak 10 gram sehari di mana ia adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Oleh itu, kata beliau, strategi kebangsaan berkenaan akan menjadi panduan dan hala tuju tindakan-tindakan kos efektif dalam pengawalan makanan yang sihat sepertimana yang disarankan oleh pihak WHO.

    “Strategi ini adalah salah satu tindakan di dalam Brunei Darussalam Multisectoral Action Plan for the Prevention and Control of Noncommunicable Diseases (BruMAP-NCD) 2021-2025 di bawah kawalan Multisectoral Taskforce for Health.

    “Ia juga adalah sejajar dengan saranan WHO melalui Global NCD Compact 2020-2030 dan Global Action Plan for the Prevention and Control of Noncommunicable Diseases 2013-2030 dalam mencapai sasaran global pemakanan iaitu penurunan sebanyak 30 peratus pengambilan garam atau sodium dalam kalangan penduduk negara-negara ahli,” ujarnya.

    Beliau menambah, langkah-langkah yang digariskan dalam strategi kebangsaan itu juga mengambil kira saranan dan amalan terbaik daripada negara-negara yang telah membangun seperti United Kingdom, Finland dan Jepun di mana kesemuanya telah memperkenalkan inisiatif pengurangan garam.

    Manakala itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dalam ucapannya menerangkan bahawa strategi kebangsaan itu mengandungi tindakan-tindakan yang dikenal pasti untuk agensi-agensi kerajaan dan pihak yang berkepentingan sebagai panduan ke arah mencapai sasaran kebangsaan bagi pengurangan sebanyak 15 peratus dalam pengambilan garam menjelang 2030.

    Beliau berkata bahawa kebanyakan daripada langkah perubahan berkenaan adalah luar daripada sektor kesihatan.

    Oleh itu, memperbaiki tabiat pemakanan merupakan tanggungjawab masyarakat dan juga individu, ulasnya, di mana pendekatan secara whole-of-nation dan whole-of-society dituntut dalam membuat perubahan berkenaan.

    Buku Strategi Kebangsaan Pengurangan Garam 2023-2030 berfungsi sebagai panduan ke arah mencapai sasaran kebangsaan iaitu pengurangan pengambilan garam secara purata sebanyak 15 peratus menjelang 2030.

    Beberapa garis panduan telah pun dihasilkan sebagai rujukan dan panduan bagi kementerian yang terlibat dan juga pihak yang berkepentingan untuk mencapai matlamat sasaran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...