Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Daerah Polis Tutong, kelmarin, telah mengadakan sesi perjumpaan pengawasan kejiranan (PK) bersama para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong bagi membincangkan aktiviti-aktiviti dan mengatur strategi terkini ahli PK bagi tahun 2018.
Sesi perjumpaan suku tahun kali ke-3 itu diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong dan dipengerusikan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Mohamad Khairul Amilin bin Haji Idris.
Turut hadir ialah mantan Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Suhairi bin Haji Sukri, pegawai-pegawai polis, pegawai jemputan daripada institusi mukim dan kampung, Biro Kawalan Narkotik dan dari Jabatan Elektrik serta anggota dan ahli Focal Point PK Daerah Tutong.
Taklimat pada perjumpaan tersebut telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong yang menyampaikan perkembangan terkini mengenai PK di bawah tadahan Balai Polis Tutong dan Balai Polis Lamunin. Taklimat juga menjurus kepada perkongsian maklumat dan statistik kes-kes jenayah dan kemalangan lalu lintas bagi Suku 3/2018.
Perjumpaan ini merupakan salah satu platform Pasukan Polis Diraja Brunei bagi meningkatkan keyakinan dan kerjasama masyarakat awam dalam berganding bahu membantu mencegah jenayah dan mewujudkan suasana yang lebih selamat kepada masyarakat kampung.
Bagi mewujudkan hala tuju suasana yang harmoni lagi selamat, setiap penduduk di sesebuah kampung tersebut diseru untuk tidak putus-putus memberi sokongan padu dalam usaha membanteras dan mengurangkan jenayah.
