KOTA BHARU, 29 Okt – Strategi pengkomersilan yang berkesan dan komprehensif perlu diadaptasikan dalam industri batik negara bagi melonjakkan kedudukannya seiring cabaran ekonomi global, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Beliau berkata antara aspek penting yang perlu diambil kira adalah sasaran pasaran, revolusi dalam penghasilan batik selain penglibatan golongan muda dalam industri batik.
“Tidak dinafikan batik adalah produk tradisi yang kaya dengan sejarah dan latar belakang budaya masyarakat namun, jika tidak diadaptasi sejajar kehendak semasa, apakah produk ini akan terus bertapak dalam arus perdana?
“Jika ada strategi pengkomersilan yang relevan dengan keadaan semasa, saya pasti nilai ekonomi tradisi ini dapat ditafsirkan dalam bentuk nilai tambah wang selain berupaya untuk bersaing dengan negara pengeluar batik lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Fiesta Batik Malaysia 2017 (MFBM 2017) di UMK Kampus Kota di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Cancelor UMK Datuk Mortaza Mohamed dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan.

Minggu Fiesta Batik itu diadakan selama lima hari di UMK Kampus Kota dan Kampus Bachok bermula hari ini sebagai satu inisiatif UMK memartabatkan industri batik negara serta memperkasa kembali warisan seni budaya Malaysia khususnya seni budaya masyarakat Kelantan.
Antara program yang akan diadakan termasuk bengkel konservasi tekstil, demonstrasi batik canting, pertandingan rekaan corak batik, pameran produk batik, wacana dan seminar batik serta malam anugerah rekaan corak batik yang turut disertai tokoh batik tempatan dan Indonesia.
Hamad Kama Piah berkata UMK sebagai universiti awam Kelantan perlu berusaha mengambil langkah progresif agar industri batik dapat dikembangkan seiring kemajuan dunia teknologi khususnya bagi menghadapi revolusi industri 4.0.
“UMK sebagai universiti yang mempunyai DNA keusahawanan tentu sekali akan memainkan peranan penting menjadi pemudah cara bagi pihak industri untuk merangka strategi lebih berkesan bagi memperkasa industri batik,” katanya.
Menurutnya cabaran bukanlah kekangan untuk memperkasa industri batik tetapi peluang bagi mendefinisikan semula kedudukan produk batik negara di peringkat global. – Bernama