Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Strategi penjenamaan perkasa perniagaan tempatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Bank Baiduri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) telah mengadakan bengkel Siri Memperkasakan PMKS ke-15 bertajuk Brand Mastery Masterclass, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, bengkel itu bermatlamat menyediakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan peralatan unutuk membina jenama yang kukuh dan berkekalan.

    Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank di bawah Tunggak Ekonomi, acara itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan untuk menyokong komuniti perniagaan tempatan.

    Bengkel itu mengumpulkan 50 pemilik perniagaan mewakili pelbagai industri seperti makanan dan minuman, runcit serta perkhidmatan. Para peserta memperoleh pandangan berharga dalam menilai kedudukan jenama mereka pada masa ini, mengenal pasti cadangan nilai unik serta menjana pengalaman pelanggan selaras dengan kisah jenama mereka.

    Elemen-elemen asas berkenaan menyediakan para hadirin dengan peralatan untuk menetapkan matlamat penjenamaan yang berorientasikan pertumbuhan realistik khusus bagi aspirasi perniagaan mereka.

    Sesi bergambar ramai semasa bengkel Siri Memperkasakan PMKS ke-15 bertajuk Brand Mastery Masterclass. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    Bengkel tersebut dipimpin oleh Dr Jerome Joseph. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Bengkel yang dipimpin oleh pakar penjemaan dari Global Brand Academy, Dr Jerome Joseph itu menawarkan pendekatan komprehensif kepada pembinaan jenama yang bukan sahaja merangkumi logo dan slogan.

    Terkenal dengan pandangan praktikal serta penyampaian yang menarik, Dr Jerome membawa pengalaman lebih 28 tahun dalam strategi jenama, di mana beliau telah bekerja dengan lebih 1,000 jenama di seluruh dunia termasuk syarikat-syarikat Fortune 500.

    Salah satu peralatan utama yang diperkenalkan ialah penjenamaan dalaman, yang mengajar perniagaan cara-cara melibatkan pasukan mereka dalam menyampaikan mesej jenama yang konsisten. Dr Jerome menekankan penyelarasan nilai-nilai jenama akan mengukuhkan kredibiliti dan meningkatkan pengalaman pelanggan keseluruhannya.

    Di samping itu, para peserta juga meneroka strategi penglibatan pelanggan untuk memupuk kesetiaan jangka panjang dan meyakinkan pelanggan yang puas hati untuk menjadi duta jenama.

    Ketua Perbankan Perniagaan, Bank Baiduri, Awang Mohd Isa Liew bin Mohd Amin Liew ketika dipetik menyatakan Bank Baiduri percaya jenama yang kuat adalah penting bagi kejayaan perniagaan mampan.

    “Menerusi Siri Memperkasakan PMKS, kami bermatlamat untuk memperkasa perniagaan tempatan dengan kemahiran dan keyakinan untuk membina jenama yang penting kepada pelanggan sasaran.

    “Bengkel itu bukan sahaja memperkenalkan rangka kerja praktikal tetapi juga mengetengahkan bagaimana penjenamaan kuat boleh menjadi alat yang berpengaruh bagi menangani cabaran dan merebut peluang dalam sebuah pasaran kompetitif.

    “Dengan memupuk kefahaman mendalam tentang strategi jenama, kami berharap ia membolehkan perniagaan Brunei mengukuhkan pasaran tempatan mereka dan berkembang seterusnya,” tambah beliau.

    Sejak pelancarannya pada 2019, Siri Memperkasakan PMKS telah menjadi asas inisiatif CSR Bank Baiduri, menyediakan perniagaan tempatan dengan pandangan yang berharga dan sokongan untuk menjana kejayaan dan pertumbuhan mampan.

    DARe telah menjadi rakan kongsi Siri Memperkasakan PMKS Bank Baiduri sejak 2019, sebagai sebahagian daripada usaha meluas untuk menyediakan pembangunan kapasiti bagi perusahaan tempatan.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sokongan dan program yang disediakan kepada PMKS, boleh melayari laman sesawang, www.dare.dov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda