Struktur binaan runtuh, 2 maut

KUALA LUMPUR, 3 MAC – Sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak di sini runtuh dan menghempap sebuah van yang dinaiki lima individu.

Insiden pada kira-kira 6 petang itu melibatkan sebuah lori membawa jengkaut yang telah melanggar binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang terletak berhadapan Terminal Bersepadu Selatan.

“Akibat kemalangan itu, runtuhan binaan telah jatuh ke atas sebuah van kilang yang datang dari arah pusat bandar yang dinaiki lima individu,” menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata ketika ini, usaha menyelamat masih giat dijalankan.

“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan runtuhan itu telah menghempap sebuah van kilang yang di dalamnya terdapat lima mangsa yang melewati struktur binaan berkenaan,” katanya. – Bernama

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam sebuah van selepas akibat dihempap sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak yang runtuh. – Bernama