Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Studio seramik gilap bakat terpendam artis

    PHNOM PENH – Kebanyakan orang, malah mereka yang tiada bakat artistik, mempunyai dorongan untuk mencipta sesuatu dengan tangan mereka sendiri pada satu tahap masa tertentu. Ia mungkin merupakan cenderahati, token peribadi ataupun hadiah untuk orang tersayang.

    Kebanyakannya projek berkenaan tidak berjaya dan ditinggalkan ataupun berakhir di dalam almari sebaik sahaja siap, disebabkan majoriti tidak dapat mengubah diri mereka menjadi artis mahir yang mampu mencipta objek yang benar-benar memuaskan.

    Mujurlah bagi artis yang kecewa, terdapatnya jalan yang memberikan diri awda kebebasan artistik dan keupayaan untuk mengungkap diri secara kreatif, namun ia perlu dilakukan dalam cara berstruktur dengan panduan supaya awda tidak gagal dalam mana-mana projek yang dijalankan.

    Ceramik Art Studio, terletak di Coconut Park di Koh Pich, Phnom Penh, Kemboja adalah sebuah studio lukisan seramik di mana orang dari semua lapisan umur boleh belajar bagaimana melukis tembikar dan barangan lain dan seterusnya membawa pulang hasil ciptaan mereka.

    Selain itu, awda diberikan kebebasan sepenuhnya untuk melukis barang seramik berkenaan. Awda juga boleh memilih apa yang ingin dihiasi daripada inventori barangan seramik yang sudah pasang siap.

    Maka jika awda sedang melukis patung gnome taman dan awda memilih patung tersebut daripada kedai studio, awda akan mengetahui bahawa usaha dan masa yang dihabiskan pastinya akan menghasilkan gnome taman dengan potongan yang cantik – walaupun jika awda memilih warna yang salah.

    Set berus dan cat serta beberapa objek yang boleh digunakan sebagai kanvas di studio Koh Pich. – ANN/The Phnom Penh News
    Objek seramik yang boleh awda lukis selalunya bersifat hiasan seperti patung atau objek rumah seperti koleh atau pinggan. – ANN/The Phnom Penh News
    Pinggan berbentuk hati dengan nama bahasa Inggeris ditulis dalam Khmer dan buah nanas kelihatan cantik dan senang dilukis. – ANN/The Phnom Penh News

    “Kami mempunyai beberapa objek untuk dipilih oleh pelanggan,” kata Kristy, pengurus dan penyelaras seni di Coconut Park tempat terletaknya Ceramik Art Studio.

    Coconut Park ialah kompleks gaya hidup atau hiburan di Koh Pich yang terdiri daripada spa harian, studio tarian dan yoga, dojo seni mempertahankan diri, taman permainan untuk kanak-kanak, gelanggang luncur, trek berbasikal, bengkel seni dan pertukangan, taman dan restoran terbuka serta studio seni seramik.

    “Lina Lim, pengasas Sekolah Antarabangsa Kanada, ialah pengasas Studio Ceramik Art. Idea untuk membuka studio diinspirasikan oleh pengalamannya di Montreal.

    “Studio seni seramik berkenaan amat popular di tempat seperti Kanada, Amerika dan England, terutamanya di kalangan wanita yang sudah menjadi ibu dan mempunyai keluarga atau kerjaya sehingga persaraan disebabkan ramai warga emas benar-benar suka melukis.

    “Ia adalah hobi yang santai dan juga bersifat sosial disebabkan awda boleh bergaul bersama kawan dan berbual sementara melukis.

    “Ia merupakan model perniagaan yang mantap yang telah mencatat kejayaan besar di sesetengah negara barat sejak beberapa dekad lalu, namun tidak ada satu pun yang wujud di Kemboja, maka Lina Lim mengemukakan idea untuk menubuhkannya untuk komuniti,” kata Kirsty.

    Apabila studio membeli relaunya daripada pengeluar Australia, mereka sebenarnya menghantar seorang juruteknik atau pelatih ke Kemboja yang seterusnya mengajar Sora, penyelia studio, cara-cara menggunakan cat dan glis seramik serta bagaimana mengendalikan relau.

    “Artis studio kami Jessie telah mengecat dan melukis pelbagai objek selama bertahun-tahun menggunakan akrilik dan dia suka bekerja dengan corak abstrak dan warna. Ia menjadikannya satu kelebihan dalam kumpulan kami dan dua benar-benar teruja berkongsi kemahirannya dengan orang lain,” katanya.

    Studio Ceramik Art kini dibuka kepada perkhidmatan dan aktiviti melukis dan mengglis seramik dan mereka juga menawarkan kursus seramik untuk mereka yang ingin mempertingkat kemahiran mereka dan mencapai standard kualiti yang lebih profesional dengan ciptaan mereka.

    Mereka juga menyertai bengkel menyeronokkan dan menempah untuk acara seperti hari jadi atau parti dan senaman berkumpulan.

    Studio itu berusaha mengalu-alukan seluruh komuniti. Cat dan bahan mereka adalah selamat dan senang digunakan dan corak dalaman serta suasana studio adalah selesa.

    Sesiapa boleh datang pada bila-bila masa studio dibuka – tidak memerlukan temu janji – untuk berseronok meluangkan masa kreatif bersama apa sahaja yang dilakukan oleh mereka atau mereka boleh mendaftar dalam salah satu bengkel yang menumpu pada corak khusus atau jenis objek tertentu untuk mengasah kemahiran mereka ataupun mendapatkan petua berguna.

    Studio kini mengadakan bengkel yang dibuka kepada orang awam sekali seminggu atau Ahad, tetapi mereka merancang menambah lebih banyak dalam jadual mereka sebaik sahaja situasi COVID-19 bertambah baik.

    Mereka juga mempunyai bengkel persendirian untuk ditempah oleh pengunjung lebih awal.

    “Setiap Ahad kami menumpu pada corak berlainan, maka sekiranya pelanggan suka corak yang telah dipilih oleh artis kami untuk minggu itu, mereka boleh mendaftar untuk mengetahui lebih mengenainya.

    Misalnya, sesetengah corak yang kami tawarkan merupakan corak istimewa oleh artis studio, Jessie.

    “Dia menggunakan warna-warna terang dan menggunakannya dengan teknik span untuk menghasilkan kesan pelangi yang benar-benar cantik di atas jalur hitam untuk memberikan objek kemasan dramatik.

    Ia adalah corak amat popular dan kesemua koleh yang dicipta oleh mereka dengan kaedah tersebut kelihatan amat menakjubkan,” ujar Kirsty.

    Membakar seramik dalam relau merupakan proses yang memakan masa dan memerlukan objek yang betul-betul kering, yang mungkin memerlukan masa dalam sesetengah kes.

    Di antara dua sesi membakar, setiap kelompok seramik menghabiskan sehingga 48 jam dalam relau untuk dipanaskan dan seterusnya disejukkan secara beransur-ansur. Relau hanya dapat menampung beberapa objek pada satu masa.

    Kedai seramik di studio mempunyai pelbagai koleh, pinggan, mangkuk, patung dan perhiasan kecil dengan motif corak seperti penguin, kereta api, gnome, robot, kuda, bunga dan bidadari yang boleh dipilih oleh pelanggan.

    Pelanggan juga boleh bebas memesan makanan dan minuman dari restoran Coconut Park Penh dan dihantar ke studio semasa sesi mereka – kakitangan ingin pelanggan rasa selesa dan bebas mempamerkan bakat artistik mereka.

    “Ia amat mengagumkan. Kami mempunyai ramai pelanggan yang kembali.

    “Kami mahu menganjurkan lebih banyak acara untuk orang dewasa – bukan sahaja kanak-kanak – namun agak sukar dengan situasi COVID-19, tetapi sekarang nampaknya kami mungkin dapat membuka lebih banyak jadual lagi,” katanya.

    Kirsty berkata mereka sedang mencari pilihan cat metalik untuk digunakan dalam studio, tetapi mereka masih belum menemui cat yang selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak.

    Selain itu, mereka juga mempunyai beberapa acara dan program baharu dan harus dilancarkan sebelum akhir tahun. – ANN/The Phnom Penh Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...