Sturridge digantung empat bulan – FA

LONDON, 3 MAC – Bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge telah diarahkan penggantungan empat bulan dari menyertai mana-mana aktiviti bola sepak di seluruh dunia kerana melanggar peraturan pertaruhan.

Penggantungan itu berlaku selepas Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) memenangi rayuan terhadap larangan dua minggu dan denda AS$95,756 yang diberikan kepada Sturridge pada Julai tahun lepas.

Bekas pemain antarabangsa England itu dituduh menyebarkan maklumat dalaman mengenai perpindahan berpotensi pada Januari 2018.

Kontrak Sturridge dengan kelab Turki Trabzonspor ditamatkan dengan persetujuan bersama kelmarin.

“Daniel Sturridge telah digantung dari semua aktiviti berkaitan bola sepak dari hari ini hingga akhir 17 Jun 2020,” kata FA dalam satu kenyataan.

“Berhubung dengan penggantungan itu, Lembaga Rayuan bersetuju dengan The FA bahawa denda yang pada awalnya dikenakan terhadap Sturridge terlalu rendah dan dengan itu meningkatkan larangan bermain yang efektif dari dua minggu hingga empat bulan.

“Lembaga Rayuan juga menggandakan denda kepada 150,000 pound sterling.”

Sturridge, 30 tahun, memulakan kerjayanya di Manchester City sebelum beralih ke Chelsea pada 2009.

Dia menikmati musim terbaik di Liverpool selepas berpindah ke Anfield pada tahun 2013. – AFP

Daniel Sturridge digantung dari semua aktiviti berkaitan bolasepak bermula kelmarin hingga akhir 17 Jun ini. Penggantungan itu berlaku selepas Persatuan Bola Sepak Inggeris memenangi rayuan terhadap larangan dua minggu dan denda AS$95,756 yang diberikan kepada Sturridge pada Julai tahun lepas.– Agensi