Monday, March 17, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SU Kupang, St James hargai jasa guru

    Oleh Normazlina M.D dan Hajah Saemah Kepli

     

    TUTONG/KUALA BELAIT, 4 Okt – Sebagai menghargai jasa guru, Sekolah Ugama Kupang Tutong 1 telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan, kelmarin.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Guru Besar Sekolah Ugama Kupang, Hajah Nekmah binti Haji Mohammad.

    Kira-kira 160 orang murid Darjah Pra hingga 6 bersama guru-guru sekolah berkenaan hadir bagi memeriahkan lagi suasana Sambutan Hari Guru tersebut.

    Majlis diserikan dengan beberapa persembahan bagi menghargai jasa guru antara persembahan sajak dan lakonan oleh murid-murid Darjah 4. Majlis diakhiri dengan bersalam-salaman dan beramah mesra bersama guru-guru di sekolah berkenaan.

    Majlis merupakan salah satu aktiviti tahunan sekolah dengan tujuan bagi mengingati jasa guru yang memberi tunjuk ajar kepada murid-murid di samping dapat memupuk sikap hormat menghormati murid-murid terhadap guru.

    Antara murid-murid Sekolah Ugama Kupang Tutong 1 bergambar ramai bersama guru-guru di sekolah berkenaan.
    Persembahan para pelajar Sekolah St James semasa meraikan Sambutan Sempena Hari Guru bagi sekolah itu di sini.

    Dalam pada itu, Sekolah St James turut tidak ketinggalan meraikan guru-gurunya dalam Majlis Sambutan Hari Guru yang diadakan di kawasan terbuka sekolah tersebut, di sini.

    Di samping meraikan Sambutan Hari Guru, majlis itu juga antara lain bertujuan bagi menyampaikan rasa penghargaan ke atas guru-guru yang telah berjasa mendidik para pelajar di sekolah tersebut, selain bagi melahirkan rasa kasih sayang ke atas komitmen dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh guru-guru di seluruh negara terutama sekali sekolah itu.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pengetua Sekolah St James, Haji Mohd Masa Masdi bin Mohd Sa’dun yang juga telah merasmikan majlis sambutan itu.

    Dalam ucapannya, tetamu kehormat telah melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan dan kecemerlangan para pelajar.

    Menurutnya, pada tahun ini tema Sambutan Hari Guru ‘Kecemerlangan Guru Teras Kejayaan Ummah’ mencerminkan hakikat bahawa guru menjadikan kehidupan para pelajar lebih progresif dan membentuk masa depan dengan memberikan generasi pengetahuan dan kemahiran.

    Beliau juga menyeru para pelajar sekolah itu supaya sentiasa menghormati para guru dan melibatkan diri dalam semua aktiviti yang disediakan pada majlis tersebut.

    Bagi menceriakan lagi acara sambutan, beberapa persembahan seperti nyanyian, tarian telah dipersembahkan oleh pelajar-pelajar sekolah itu. Kebanyakan acara yang disediakan adalah mencerminkan tanda penghargaan ke atas usaha guru-guru dalam mendidik mereka setiap masa di sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda