Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Dalam menyahut dan menanai hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai generasi celik Al-Quran, Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SU YSHHB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah 6 yang telah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juzuk, hari ini.
Seramai 76 orang murid iaitu 42 lelaki dan 34 perempuan telah diraikan pada majlis tersebut yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.
Antara yang menyertai majlis tersebut ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Nur Aleeyah Syifa binti Pengiran Anak Haji Mohd Al-Mokhtar.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan I, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Dayang Sufinah binti Haji Sulaiman yang kemudiannya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil khatam kepada para peserta.
Antara tujuan majlis khatam tersebut diadakan adalah untuk menggalakkan para pelajar sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar serta memastikan mereka dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum menamatkan persekolahan agama.