Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Sua Muka tekan isu maklumat palsu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Komunikasi Strategik telah meneruskan lagi Program Sua Muka, kali ini bagi Kampung Tanjung Bunut, Mukim Kilanas di Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjung Bunut, kelmarin.

    Hadir selaku ketua rombongan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastera Sarini binti Haji Julaini yang antara mengongsikan mengenai penyebaran maklumat palsu pada era digital yang tular dengan begitu cepat melalui pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, Facebook, Twitter dan Instagram yang menyebabkan orang ramai merasa takut dan cemas.

    Beliau menjelaskan, apa yang lebih membimbangkan ialah apabila maklumat palsu dan berunsur fitnah itu diterima tanpa merujuk kepada sumber yang sahih dan kemudiannya menjadi tular sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan juga keselamatan negara. 

    “Sesiapa yang didapati melakukan kesalahan, menyediakan atau bersubahat untuk menjalankan hasutan; mencetak, menyiarkan, menjual, menawarkan untuk menjual, mengedarkan atau mencetak semula sebarang hasutan; serta membawa masuk sebarang warta yang berbentuk hasutan boleh dikenakan hukuman penjara dan denda,” tegas beliau.

    Di samping itu, program berkenaan turut diisikan dengan sesi dialog mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung antaranya berkaitan dengan prasarana dan kemudahan awam. 

    Dalam ucapannya, Pemangku Ketua Kampung Tanjung Bunut, Haji Abdul Rahman bin Haji Jumat menyambut baik Program Suka Muka yang diusahakan oleh Jabatan Penerangan.

    Menurut beliau, program itu sangat berharga dan dapat memberikan manfaat kepada penduduk kampung di samping sebagai platform bertukar-tukar fikiran dan pandangan dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga negara.

    Program berkenaan juga dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan serta memberigakan maklumat dan program serta perkembangan dan kemajuan mukim.

    Program Sua Muka yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan bagi Kampung Tanjung Bunut di Masjid Ar-Rahman, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...