Suai kenal program sekolah Kesultanan Oman, Brunei

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bi Madaris ‘Arabiah, Pejabat Setiausaha Tetap dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam dan Bahagian Antarabangsa dan MABIMS telah mengadakan majlis suai kenal antara sekolah-sekolah dari Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam secara dalam talian, kelmarin.

Majlis berkenaan melibatkan kalangan pengetua-pengetua dan tenaga pengajar dari sekolah-sekolah Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di negara ini dan sekolah-sekolah di bawah Suruhanjaya Nasional Pendidikan, Kebudayaan dan Sains, Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, majlis bertujuan untuk mengeratkan hubungan yang sedia ada dengan Kesultanan Oman serta memberikan peluang kepada para pengetua dan tenaga pengajar dari kedua-dua buah negara berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelaksanaan program yang akan bermula pada 18 Oktober depan bagi pelajar-pelajar dari kedua-dua buah negara secara dalam talian.

Program juga bertujuan untuk mencapai matlamat memperkasa penggunaan Bahasa Arab bagi bukan penuturnya di samping melahirkan pelajar-pelajar Brunei yang boleh bertutur dalam Bahasa Arab sebagai bahasa kedua.

Pelbagai rancangan program telah disusun oleh Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman yang akan dijalankan dalam 12 sesi. Kenyataan menambah, program berkenaan diisikan dengan pertukaran pendidikan budaya dan warisan dari kedua-dua buah negara yang mana ia diharapkan dapat memperkenalkan pelajar-pelajar kepada budaya dari pelbagai bangsa, meningkatkan interaksi antara pelajar-pelajar dalam bertukar-tukar pandangan mempelajari adat resam, tradisi dan warisan untuk menyemai budaya hormat-menghormati di kalangan masyarakat setempat dengan budaya yang berbeza.

Selain itu, pelbagai aktiviti juga telah dirancang seperti pertandingan menulis artikel, persembahan visual, perbahasan pelajar, melukis dan fotografi untuk mempertingkatkan lagi persaingan di kalangan pelajar. Program pertukaran itu nanti akan diselia dan dipantau oleh Pertubuhan Sekolah-sekolah, Program Belia dan Kelab UNESCO dari Kesultanan Oman. Inisiatif Kesultanan Oman dalam melaksanakan Program Pertukaran secara dalam talian adalah sebagai landasan pertemuan bagi pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam dengan pelajar-pelajar dari Kesultanan Oman dan sangat disambut baik oleh KHEU. Kenyataan menyatakan, KHEU sangat bersyukur dan menghargai sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh Kesultanan Oman serta sentiasa mengalu-alukan kerjasama yang berterusan pada masa hadapan.

Antara pegawai yang mengambil bahagian dalam majlis suai kenal yang diadakan secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU