Suami ditahan cukur kepala isteri

DHAKA, 8 OKT – Seorang lelaki Bangladesh yang mencukur kepala isterinya setelah terjumpa sehelai rambut dalam sarapannya telah ditahan, kata polis hari ini.

Polis melakukan serbuan ke atas sebuah kampung di daerah barat laut Joypurhat dan menahan Bablu Mondal, 35, selepas menerima laporan daripada penduduk kampung tentang kejadian tersebut.

“Dia terjumpa sehelai rambut dalam nasi dan susu yang disediakan oleh isterinya ketika

ingin bersarapan pagi,” beritahu ketua polis tempatan Shahriar Khan kepada AFP.

“Lelaki itu naik berang dan menyalahkan isterinya. Dia terus mengambil pisau cukur dan mencukur kepala mangsa,” kata beliau.

Menurut kumpulan aktivis, insiden itu menunjukkan penindasan yang semakin berleluasa terhadap wanita di negara konservatif berkenaan walaupun terdapat undang-undang yang melindungi mereka daripada penderaan dan serangan seksual.

Khan berkata Bablu didakwa atas kesalahan dengan ‘sengaja mengakibatkan kecederaan’ yang boleh dihukum penjara 14 tahun, selain juga ‘mencabul kehormatan’ isteri-nya yang berusia 23 tahun itu. – AFP