Suami isteri dicekup edar dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Sepasang suami isteri berusia 40 dan 35 tahun telah ditahan dalam satu serbuan di kawasan letak kereta di salah sebuah restoran makanan segera di Gadong pada 21 Julai lalu, kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN), hasil daripada serbuan dan pemeriksaan telah menemui paket-paket plastik berisi pecahan hablur dipercayai dadah jenis Ketamine, dadah Kelas B melebihi 20 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $1,200.

Antara barangan lain yang dirampas ialah alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, timbangan digital dan telefon bimbit, kesemuanya dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah dan sejumlah wang tunai dalam anggaran melebihi $17,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah. Kenyataan menyatakan, dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran Negara Brunei Darussalam.

Setelah disiasat kedua-dua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lama di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.

Tangkapan tersebut masih dalam siasatan dengan seorang daripadanya di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum tiga tahun penjara dan tiga sebatan dan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan 15 sebatan dan memiliki bagi tujuan mengedar dadah terkawal Kelas B.

Kedua-duanya turut disiasat di bawah Seksyen 6 (a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya, Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 iaitu atas kesalahan membersihkan wang haram.

Selain itu, seorang daripadanya jua disiasat di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya.

BKN dalam kenyatannya, menyeru orang ramai jika mendapati perkara mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah, segera hubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]

Antara barangan yang dirampas ialah paket-paket plastik berisi pecahan hablur dipercayai dadah jenis Ketamine, dadah Kelas B melebihi 20 gram.- Gambar oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN)