Suami isteri disoal siasat berhubung ‘penipuan amal’

BARCELONA, 15 Jan – Sepasang suami isteri dari Sepanyol yang diberkas kerana dikatakan menggunakan penyakit luar biasa anak perempuan mereka dalam penipuan amal kini disiasat bagi pengeksploitasian seksual anak perempuan itu yang berusia 11 tahun.

Fernando Blanco, bekas DJ di pulau percutian Ibiza, dan isterinya Margarida Grau dikelilingi para pemberita Jumaat lalu ketika mereka muncul di mahkamah di bandar pergunungan, Seu D’Urgell di rantau barat laut Catalonia untuk disoal siasat.

Pasangan suami isteri itu dipanggil selepas polis mendapati pada pemacu USB milik Blanco, gambar-gambar bogel anak perempuan mereka Nadia Nerea, yang menurut mereka menghidap masalah genetik luar biasa dipanggil trichothiodystrophy.

Stesen televisyen Catalan TV3 melaporkan bahawa satu imej menunjukkan pasangan itu mengadakan hubungan kelamin di hadapan Nadia. Gambar-gambar Nadia lain mengandungi ‘kandungan seksual’, menurut stesen itu tanpa mengulas lebih lanjut.

Pasangan suami isteri memberitahu hakim gambar-gambar itu diambil untuk mengikuti kemajuan penyakit anak perempuan mereka yang mana dalam kes-kes ringan hanya mengakibatkan pesakit mengalami rambut rapuh, tetapi apabila kes teruk mengakibatkan perkembangan lembap, ketidakmampuan intelek, dan jangkitan berulang yang boleh membawa kepada kematian pada usia muda.

“Tidak ada yang istimewa tentang gambar-gambar itu. Tidak ada pornografi, kandungan seksual atau eksploitasi,” menurut peguam pasangan itu, Alberto Martin memberitahu para pemberita.

Penjelasan itu tidak meyakinkan hakim yang memulakan penyiasatan ke atas pasangan itu bagi pendedahan tubuh, provokasi seksual dan eksploitasi seksual.”

Sejak Disember pasangan itu telah disiasat bagi tuduhan penipuan selepas polis menuduh mereka membelanjakan hampir 600,000 euro dari 918,000 euro yang mereka kutip bagi rawatan anak perempuan mereka. – AFP