Suami mahu terjun, isteri boros 11.11

BEIJING, 13 NOV – Gara-gara penangan ‘jualan harga runtuh’ 11.11, Ahad lalu, seorang suami mahu membunuh diri kerana isteri membelanjakan lebih daripada 300,000 yuan (AS$42,745) membeli-belah beg tangan berjenama, minyak wangi mahal, pakaian dan banyak lagi secara dalam talian.

Kejadian itu berlaku di Luzhou, wilayah Sichuan selepas Wang, 29, tertekan kerana isterinya Zhan berbelanja besar selepas tertarik dengan diskaun hebat yang ditawarkan peniaga pada jualan harga runtuh 11.11.

Menurut China Press, polis menerima satu laporan mengenai seorang lelaki mahu terjun dari tingkat 33 bangunan jam 10 malam selepas pasangan itu dilaporkan bertengkar.

Bagaimanapun, polis berjaya menenangkan Wang dalam tempoh 30 minit dan turut meminta dia memikirkan nasib anak kecilnya.

Hasil siasatan turut mendapati, lelaki berkenaan terlalu tertekan dan emosi kerana tidak mampu bayar hutang selepas isterinya baru sahaja menambah jumlah hutang semasa promosi ‘sale 11.11’. – Agensi