Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suami maut, isteri cedera kemalangan libat tiga kenderaan

    ALOR SETAR, 8 JAN – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler di KM37.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Tol Hutan Kampung, di Jitra, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9:26 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

    “Setibanya di lokasi, bomba mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah treler dan dua kereta jenis Toyota Avanza dan Proton Saga. Kemalangan menyebabkan pemandu kereta Proton Saga yang berusia 50an meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya juga berusia 50an cedera ringan.

    “Pemandu kereta Toyota Avanza iaitu lelaki berusia 50an bersama dua penumpang wanita berusia 20an serta seorang lelaki berusia 40an yang memandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala isteri mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda