Suami Ratu Elizabeth II mangkat

LONDON, 9 APRIL – Suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip, mangkat hari ini pada usia 99 tahun, umum kenyataan rasmi dari Istana Buckingham.

Pemergian Duke of Edinburgh itu ternyata kehilangan besar bagi Ratu berusia 94 tahun itu, yang pernah menyifatkan baginda sebagai tonggak kekuatannya selama ini.

Ratu Elizabeth mengumumkan pemergiannya ‘dengan penuh sedih’ selepas beliau mangkat pada pagi ini di Istana Windsor, barat London, kata istana dalam kenyataan.

“Keluarga Diraja menyertai rakyat seluruh dunia berkabung pemergiannya,” menurut kenyataan.

Bekas Komander Tentera Laut itu menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di sisi Ratu Elizabeth II, menyertai pelbagai acara amal tetapi sering mendapat perhatian kerana keceluparan mulutnya.

Gambar fail yang dikeluarkan pada 9 Jun 2020 menunjukkan Ratu Elizabeth II dan suami Putera Philip di Istana Windsor sempena merai sambutan ulang tahun ke-99 Putera Philip. – AFP

Baginda dimasukkan ke hospital pada 16 Februari lalu dan dibenarkan pulang selepas sebulan apabila selesai menjalani rawatan bagi masalah jantung.

Mengumumkan kemangkatan Putera Philip, stesen televisyen BBC memainkan lagu kebangsaan sambil memaparkan gambar baginda lengkap berpakaian seragam ketenteraan.

Putera Philip, yang sentiasa berada di sisi Ratu Elizabeth II selama hampir lapan dekad, bersara dari tugas awam pada 2017, ketika berusia 96 tahun.

Kemangkatan baginda berlaku beberapa bulan sebelum sambutan ulang tahun ke-100 Jun ini.

Putera Philip dan Ratu Elizabeth II mempunyai empat orang anak iaitu Charles, Anne, Andrew dan Edward selain lapan cucu serta sembilan cicit. – AFP