Suami tidak dibenar masuk bilik bersalin demi keselamatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menasihati orang ramai terutama para suami untuk bersabar buat sementara ini yang tidak dibenarkan untuk masuk ke bilik bersalin bagi menemani isteri mereka di hospital.

“Ini kerana, keadaan di hospital masih lagi ada penularan, jika pandemik sudah terkawal dengan le-bih baik, mungkin ada caranya untuk membolehkan suami menemani isteri semasa waktu bersalin sama ada dengan membuat ujian ART dan sebagainya,” kata Yang Berhormat Dato ketika menjawab cadangan untuk suami membuat ujian PCR dua hari sebelum dapat menemani isteri mereka yang hendak melahirkan.

Dalam keadaan pandemik pada masa ini, katanya, suami yang tidak dibenarkan untuk masuk ke bilik bersalin adalah disebabkan atas alasan-alasan tertentu seperti contohnya suami dikhuatiri akan menjangkiti isteri atau sebaliknya, kemudian menjangkiti bidan, dan bidan pula akan terpaksa dikuarantin, jadi ia boleh menjejaskan sistem kesihatan.

“Walaupun melahirkan cahaya mata merupakan saat-saat gembira yang dinantikan oleh mereka yang berumah tangga, tetapi memandangkan keadaan penularan masih berlaku beberapa minggu ini, suami perlu bersabar dan belum dapat dibenarkan untuk berada di bilik bersalin,” katanya.