Suami wanita hamil juga disaran WFH

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Tidak dinafikan wanita yang mengandung tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi dan mereka perlu bekerja dari rumah (WFH)

Meskipun bekerja dari rumah, pada masa yang sama, suami wanita berkenaan yang perlu bekerja di pejabat masih terdedah kepada jangkitan lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja dari rumah. Sehubungan itu, pihak majikan harus mempertimbangkan agar suami wanita itu dapat bekerja dari rumah seberapa yang boleh.

“Jika si suami adalah pekerja yang diperlukan, beliau juga perlu mengambil langkah berhati-hati atau berjaga-jaga dan tidak harus menyerahkan semuanya kepada pihak majikan.

“Dia harus memastikan bahawa dia perlu memakai penutup hidung dan mulut, mengamalkan penjarakan sosial serta melaksanakan tanggungjawab sosialnya.”

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan mengenai pengemaskinian WFH semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau menyarankan pihak majikan memberikan pertimbangan buat sementara waktu bagi suami wanita mengandung itu dinilai lagi untuk melihat jika terdapat kaedah lain agar si suami dapat bekerja dari rumah.

Ia adalah untuk mencari jalan supaya suami berkenaan tidak sepanjang-panjangnya bertugas di pejabat sahaja.

“Itu adalah satu contoh bagi mana-mana syarikat atau kementerian untuk sentiasa mengkaji atau menilai semula proses mereka iaitu dapat dikurangkan atau tidak, mereka yang bekerja di pejabat,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato seterusnya memberikan contoh seperti di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, terdapat jabatan-jabatan yang membuat penilaian atau pengkajian semula, jika dapat dikurangkan lagi jumlah pekerja yang bekerja di pejabat.

Beliau menambah bahawa perkara itu adalah penting kerana terdapat pekerja-pekerja yang mungkin merasa bimbang akan terdapat kes-kes di kementerian mereka dan oleh itu, pihaknya akan membuat penilaian semula.

Sebagai contoh, tambah beliau, terdapat sebuah jabatan di kementeriannya, dimana pada awalnya, dianggarkan sebanyak kira-kira 20 peratus pekerja akan bekerja di pejabat dan setelah penilaian lanjut dijalankan, hanya kurang daripada 10 peratus yang perlu datang ke pejabat.

Menurutnya, perkara itu, harus sentiasa dikaji atau dinilai semula dimana jika adalah keperluan bagi pekerja itu untuk harus datang bekerja ke pejabat, seboleh-bolehnya dipastikan pada jumlah yang minimum.