Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Sebagai salah satu aktiviti yang dirancang sepanjang bulan Ramadan, Suara Anak Seni iaitu kumpulan koir di bawah naungan Mukim Gadong A telah menjayakan Program Infaq Ramadan Tahun 2022 pada 15 April lalu.
Menerusi program itu, ahli-ahli kumpulan berkenaan telah bersatu padu untuk memasak juadah makanan dan kemudian diagih-agihkan kepada masjid-masjid di bawah naungan Mukim Gadong A.
Antara masjid yang diagihkan makanan bagi program berkenaan ialah Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong, Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Surau Polis Gadong dan Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku.
Program itu dihasratkan untuk mengukuhkan lagi hubungan keharmonian sesama penduduk di dalam sebuah mukim. Dalam masa yang sama, mereka juga berhasrat untuk menjadikan kumpulan suara anak seni menjadi sebuah persatuan pada masa yang akan datang. Ramadan kali ini lebih berkualiti berbanding sebelumnya dengan berazam untuk berpuasa sempurna di samping melakukan segala ketaatan untuk memperoleh keampunan daripadaNya.
