Suara Belia APEC didengarkan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Delegasi empat orang belia mewakili Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri APEC Voices of the Future 2021 yang dihoskan secara maya oleh New Zealand bermula 13 Oktober lalu hingga hari ini.

Delegasi terdiri daripada Awang Muhammad Nasrullah bin Haji Puzian,20, dari Politeknik Brunei, Lim Tze Liang, 18, dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains), Dayang Nur Alyssa Madihah binti Sopian, 20, dari Kolej Perdagangan Laksamana dan Dayang Syairah Rafae’a, 23, dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Delegasi diketuai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Menurut kenyataan yang diberikan, APEC Voices of the Future merupakan acara belia tahunan yang menghimpunkan golongan muda dari seluruh rantau APEC untuk membincangkan isu-isu besar dan membolehkan suara mereka didengari. Acara dijalankan semasa Minggu Pemimpin APEC, diadakan berturut-turut dengan Mesyuarat Ketua Pegawai Eksekutif APEC.

Menerusi acara itu, para peserta dari Asia Pasifik berpeluang mendengar dan belajar daripada pakar dan rakan sebaya di seluruh rantau ini, sambil turut meletakkan perspektif unik mereka di hadapan pemimpin APEC.

Semasa mesyuarat pertama pada 13 Oktober, Dayang Syairah memperkenalkan delegasi dari Brunei Darussalam dan membentangkan topik isu paling penting bagi belia Brunei sewaktu pandemik ini.

Pada sesi minggu berikutnya, Awang Muhammad Nasrullah mewakili delegasi bagi membincangkan dan menghasilkan deklarasi belia di bawah tema Masa Depan Lebih Hijau dengan menyuarakan isu-isu tempatan dan antarabangsa.

Acara turut dimuatkan dengan penyampaian ceramah oleh para pakar jemputan yang berkongsi tentang empat bidang fokus utama.

Acara diakhiri dengan penyerahan rasmi Deklarasi Belia kepada Perdana Menteri New Zealand, Puan Yang Terutama Jacinda Ardern diikuti dengan sesi interaktif bersama Puan Yang Terutama.

Para belia ketika sesi interaktif bersama PYT Jacinda Ardern.