Suarez bantu Atletico kembali ke puncak liga

MADRID, 22 SEPT – Luis Suarez berjaya menjaringkan dua gol, termasuk gol kemenangan pada masa kecederaan, ketika Atletico Madrid berjaya menewaskan Getafe, yang terpaksa bermain dengan 10 pemain, 2-1 dan melonjak ke kedudukan teratas La Liga, kelmarin.

Pasukan tuan rumah, Getafe mendahului perlawanan melalui Stefan Mitrovic pada separuh masa pertama, namun perlawanan mula berubah setelah Carles Alena di buang padang pada minit ke-74.

Juara bertahan, Atletico kini berada satu mata di hadapan pesaing utama mereka, Real Madrid yang menjadi tuan rumah kepada Real Mallorca, hari ini.

“Pada separuh masa pertama, kami kurang bergerak dan perlawanan mendatar sehingga pihak lawan berjaya menjaringkan gol,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

“Pada separuh masa kedua, perlawanan mula menunjukkan rentaknya, lebih bersaing dan kami memberikan serangan yang lebih baik.”

Reaksi Luis Suarez selepas menjaringkan gol untuk membantu pasukannya membenam Getafe, kelmarin. – AP

Keputusan seri tanpa gol ketika menentang Athletic Bilbao, yang belum pernah kalah, pada hujung minggu lalu menyebabkan mereka tercicir dua mata di belakang Real di awal musim dan anak buah Simeone sekali lagi dilihat beraksi kurang meyakinkan.

Aksi hambar pada separuh masa pertama dari pasukan pelawat bertambah buruk selepas pemain pertahanan Getafe, Mitrovic berjaya menanduk masuk bola melepasi gawang.

Antoine Griezmann dan Suarez, yang tandukannya terkena palang, hampir menyamakan kedudukan sebelum bekas pemain tengah Barcelona, Alena, membantu Atletico mengubah kedudukan.

Alena, yang sudah diberikan kad kuning, dilayangkan kad merah selepas penelitian VAR atas kekasarannya terhadap pemain kebangsaan Brazil, Matheus Cunha.

Empat minit selepas Alena dibuang padang, Suarez berlari menyambut bola hantaran daripada Mario Hermoso dan berjaya menjaringkan gol ke gawang pasukan lawan.

Pemain kebangsaan Uruguay tersebut berjaya memberikan kemenangan kepada Atletico dengan gol akhir selepas minit ke-90 dengan menewaskan penjaga gol David Soria. – AFP