VALENCIA, 10 Mei – Penyerang Barcelona, Luis Suarez menjalani pembedahan lutut semalam dan mungkin tidak beraksi pada final Piala Raja Sepanyol menentang Valencia, hujung bulan ini.
Suarez beraksi 90 minit penuh ketika kekalahan mengejut Barca 0-4 di tangan Liverpool awal pagi kelmarin, yang menamatkan harapan mereka layak ke final Liga Juara-Juara.
Namun kelab itu mengumumkan semalam Suarez memerlukan pembedahan, dengan final piala hanya dua minggu lagi pada 25 Mei ini.
“Luis Suarez mengalami kecederaan meniskus dalaman di lutut kanan dan akan menjalani prosedur artroskopi,” menurut kenyataan kelab itu.
Suarez tidak mungkin berdepan Getafe di laman sendiri dalam La Liga Ahad ini sebelum Barcelona beraksi di gelanggang lawan menentang Eibar minggu berikutnya pada perlawanan terakhir liga musim ini. – AFP