Suarez mahu tebus balik kesalahan

MONTEVIDEO, 12 Jun — Tugas utama Uruguay adalah mengawal Luiz Suarez pada Piala Dunia edisi kali ini.

Selepas penyerang itu dikeluarkan daripada pertandingan edisi 2014 selepas bertindak menggigit pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini, Uruguay disingkirkan oleh Colombia dalam saingan peringkat 16.

Suarez berjanji dia kini berubah dan akan menjaga penampilannya di Rusia berbanding di Brazil, di mana dia menjaringkan dua gol sebelum digantung.

“Ia memang salah saya,” kata Suarez. “Jadi saya mempunyai hutang yang perlu dijelaskan kepada saya dan Uruguay, cuba untuk mempamerkan imej yang baik.”

Keadaan semakin baik untuk juara Piala Dunia dua kali Uruguay berdasarkan kempen kelayakan.

Tabarez semasa mengendalikan sesi latihan di Pusat Sukan Borsky menjelang Piala Dunia yang akan bermula tidak lama lagi. – AFP

Selepas melalui empat perlawanan playoff Piala Dunia berturut-turut dan hanya mencapai tiga daripada pertandingan itu, Uruguay menempah slot secara automatik di Rusia selepas berada di kedudukan kedua di belakang Brazil dalam peringkat kelayakan.

Jurulatih

Oscar Tabarez akan membawa Uruguay ke saingan Piala Dunia keempat selepas penampilan pertama pada 1990 diikuti pada 2010 dan 2014.

Pasukan kendalian Tabarez kerap kali melepasi peringkat kumpulan termasuk penampilan di peringkat separuh akhir di Afrika Selatan lapan tahun yang lalu.

Bekas guru sekolah dan pemain profesional, Tabarez membantu Uruguay merangkul gelaran Copa Amerika pada 2011. Sebagai pengurus kelab, dia membawa Panarol menjuarai Copa Libertadores pada 1987 dan Boca Juniors memenangi liga Argentina pada 1992.

Tabarez berusia 71 tahun itu menggunakan kerusi roda sejak menghidapi sindrom Guillain-Barre pada 2016.

Penjaga Gol

Terdapat keraguan mengenai penjaga gol Fernando Muslera mungkin akan menghuni posisi gawang dalam Piala Dunia ketiganya.

Barisan pertahanan

Gandingan pemain Atletico Madrid, Diego Godin dan Jose Gimenez juga menjadi nadi utama di bahagian pertahanan Uruguay. Godin telah membuat penampilan sebanyak 100 kali sejak pertama kali beraksi pada 2005 dan menghasilkan gol dalam Piala Dunia ketiganya menentang Itali pada 2014.Gimenez berusia 23 tahun menawarkan gandingan yang mantap bersama pemain yang sembilan tahun lebih tua dan sudah membuat penampilan Piala Dunia sebelum ini.

Pemain serba boleh, Martin Cacerez sudah pasti tersenarai dalam kesebelasan utama melainkan dia mengalami kecederaan.

Barisan tengah

Tabarez sering meragui kualiti serangan barisan tengah padang. Sementara mempunyai unit yang berkebolehan di bahagian pertahanan, pemain tengah bergelut untuk menghasilkan peluang untuk pemain di bahagian serangan.

Semasa kempen kelayakan, Tabarez telah memanggil beberapa pemain muda yang meningkat naik di bahagian tengah: Nahitan Nandez dan Rodrigo Bentancur.

Barisan penyerang

Uruguay tidak sepatutnya mengalami kemarau gol. Bahagian serangan merupakan bahagian terkuat dalam pasukan tersebut.

Suarez merupakan penjaring terbanyak Uruguay dengan 51 gol dan melalui musim yang mantap bersama Barcelona.

Sementara penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani menghuni nombor dua dalam senarai penjaring dengan 42 gol termasuk 10 gol dalam 18 perlawanan semasa kempen kelayakan Amerika Selatan. – AP