MADRID, 2 Feb – Jurulatih Barcelona, Luis Enrique mengakui bahawa skuadnya telah terlepas peluang dan masih banyak kerja yang perlu dibuat untuk mara ke final Copa del Rey buat kali keempat berturut-turut meski menang 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama ke atas Atletico Madrid.
Dua jaringan hebat Luis Suarez dan Lionel Messi memberikan keselesaan kepada Barcelona di separuh masa pertama di Vicente Calderon.
Namun, Antoine Griezmann berjaya menyumbatkan satu gol selepas rehat sebelum neymar menendang tinggi peluang ebsar untuk mengembalikan dua gol pendahuluan Barca.
“Jika kami lebih efisien dengan kualiti yang kami ada dalam pasukan ini, kami mungkin memanfaatkan peluang-peluang dengan lebih baik dan mempunyai perlawanan kedua yang berbeza,” kata Enrique.
Barca juga akan tanpa khidmat Neymar bagi perlawanan kedua minggu depan apabila menerima tiga kad kuning dalam kejohanan itu musim ini.
“Kami tahu bahawa kami perlu menjaringkan gol di sini,” kata Suarez.
“Itu yang penting dan kami berjaya menjaringkan dua, tetapi ia belum berakhir.”
Barca mengusai 45 minit pertama dengan Suarez membuat larian solo dan menjaringkan gol seawal minit ketujuh. Kemudian jaringan digandakan oleh Messi di minit ke-20.
“Saya fikir kami memulakan perlawanan dengan baik, tahu bahawa betapa sukarnya bermain di sini,” tambah Enrique.
“Kami memastikan mereka tidak dapat membuat sebarang serangan, kami mengusai bola di dalam kawasan mereka, mencipta banyak peluang dan efisien.
“Di separuh masa kedua, melihat kepada jaringan, Atletico mesti membuat serangan. Mereka memberikan kami lebih banyak tekanan dan mencetuskan banyak masalah.
“Tetapi ia sesuatu yang naif jika anda fikir datang ke sini untuk menang mudah.” – AFP