BARCELONA, 12 Jan – Penyerang dari Uruguay, Luis Suarez muncul sebagai pemain ketiga terpantas menjaringkan 100 gol untuk Barcelona, hanya dalam 120 perlawanan, awal pagi tadi sekali gus mengatasi rakan penyerangnya, Lionel Messi.
Pemain kebangsaan Uruguay itu menyempurnakan hantaran Neymar dengan membuat sepakan ‘akrobatik’ di Camp Nou seterusnya meletakkan Barca mendahului 1-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi peringkat 16 terakhir kedua Copa del Rey sebelum keputusan memihak kepada mereka dengan 3-1.
Hanya Mariano Martin (99) dan legenda Hungary Laszlo Kubala (103) yang mempunyai kurang penampilan untuk mencecah 100 gol bersama Barca.
Jaringan Suarez itu juga adalah yang ke-300 oleh gandingan ‘MSN’ (Messi, Suarez, Neymar) Barca yang cukup digeruni sejak dia menyertai kelab berkenaan pada tahun 2014. Messi memerlukan 188 penampilan untuk meledak 100 gol bagi Barcelona. – AFP
