Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suasana di Manchester City kembali ceria

    LONDON, 14 JAN – Pep Guardiola kelmarin berkata suasana di Manchester City kembali ceria selepas tiga kemenangan berturut-turut tetapi masih berselindung mengenai pengambilan pemain baharu yang berpotensi untuk memperkuatkan pasukannya yang dilanda kecederaan Januari ini.

    Juara Liga Perdana, City hanya memenangi satu daripada 13 perlawanan dalam semua pertandingan sebelum kemenangan 2-0 di Leicester pada 29 Disember.

    City kemudian menewaskan West Ham 4-1 dalam perlawanan terakhir Julen Lopetegui sebagai pengurus kelab London itu sebelum membelasah pasukan divisyen keempat Salford 8-0 dalam pusingan ketiga Piala FA hujung minggu lalu.

    “Sebelum ini, adalah mustahil untuk menang satu perlawanan, jadi sekarang kami telah menang tiga dan itu membantu kami,” kata Guardiola pada malam sebelum perlawanan liga hari ini di Brentford.

    “Realitinya kami telah menang menentang pasukan dalam perlawanan terakhir sama ada Liga Perdana dan Liga Divisyen Dua.

    “Kami mempunyai perlawanan yang sangat sukar (menentang Brentford). Thomas (Frank) dan pasukannya sentiasa menimbulkan banyak masalah kepada pasukan lawan. Mereka adalah pasukan yang hebat,” tambahnya.

    Brentford tersingkir daripada Piala FA Sabtu lalu selepas tewas 1-0 di tempat sendiri kepada pasukan Divisyen Dua, Plymouth, tetapi rekod tempat sendiri mereka dalam Liga Perdana adalah kedua selepas pendahulu Liverpool.

    City berada di tangga keenam dalam carta liga, hanya dua mata di belakang Chelsea yang berada di tangga keempat dalam usaha memburu Liga Juara-Juara musim depan.

    Selain itu, Guardiola berkata tiada maklumat terkini mengenai situasi berkenaan kapten Kyle Walker, yang telah menyatakan hasratnya untuk bermain di luar negara. – AFP

    Pemain West Ham Crysencio Summerville (kiri), dan Walker bersaing untuk mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak di stadium Etihad di Manchester, England pada 4 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda